kerja tangan M

kerjatangan

litzin kerja tangan isu M
buatan Malaysia
mokamochaink.com

kerja tangan

M

Rorschach Ink


Kerja Tangan adalah ruang katalis di mana penulis-penulis

dapat menerbitkan penulisan mereka hasil editorial rakus

dalam format ringkas tidak melebihi 600 patah perkataan

meski ada juga yang melebihi had tersebut tetapi dengan

syarat utama iaitu ia mesti bagus atau paling kurang:

luarbiasa. Rata-rata teks di dalam litzin ini samada ia

diterbitkan penuh dengan suntingan atau bagi sebilangan

teks yang belum cukup bagus, saya akan pilih bahagian

terbaik (boleh jadi dalam bentuk perenggan, stanza atau

baris ayat) dan cuba bikin teks tersebut agar ia boleh werk

bersendirian tanpa bantuan klise lain.

Kontributor dialu-alukan (esei, cerpen, puisi etsetera) dan

litzin ini selain diterbitkan secara berkala dan gratis via

laman sosial digital, ia juga diterbit dan dijual dalam bentuk

cetakan fizikal dalam usaha untuk menampung kerja-kerja

editorial dan kelangsungan litzin ini.

Maklum balas dan karya boleh diemel ke:

litzin.kerjatangan@gmail.com


kandungan

Interviu Ezzmer Daruh

oleh Ridhwan Saidi

Mabuk Kuasa

oleh Petak Daud

19 Partikel Cerita

oleh hackeleh

Penulis Wanita Malaysia

oleh Regina Ibrahim

Cari Makan

oleh Ali Aiman

Durian Mas Tulen

oleh Zedeck Siew

Penang 2030

oleh Regina Ibrahim


I n t e r v i u

Ezzmer Daruh

Ridhwan Saidi

Ezzmer Daruh merupakan pelopor/penggerak

KITARTB yang berpangkalan di Kota Bharu.

Beliau pernah menulis cerpen View Dari Balkoni

dalam antologi Bila Larut Malam (2013) dan

s e l e p a s i t u k a m i a d a b e r t e m u b a g i

membincangkan perihal novela dan penulisan

secara umumnya. Kami bertemu di Idearaya dan

mencari spot terbaik iaitu di bahagian rumput

dan ada batu-batuan untuk kami duduk. Ia pasca

senja dan langit gelap diterangi mentol-mentol

tergantung. Meski jerebu kuat, udara terasa berat

seperti mahu hujan.

RIDHWAN

Baik, kita boleh mula dengan sedikit latar, waktu kecil atau

sekolah ada apa-apa cerita yang masih ingat tentang buku,

seni atau sastera?

7


EZZMER

Waktu kanak-kanak, saya selalu berangan nama saya ada

dalam buku cerita. Membuat habit menulis nama saya di

bahagian hadapan buku. Saya masih ingat buku cerita yang

paling banyak saya ulang baca; Awang Buta Celik karya

Abdullah Ishak. Masa darjah 2 kot beli buku tu. Di Pesta

Buku Kelantan di Gelanggang Seni 1996. Sampai sekarang

saya terkilan kerana buku itu hilang atau telah rosak

dimakan anai-anai. Pada umur 10 tahun, saya berjaya

mencuri baca buku kakak saya berjudul Sayang Si Tina

karya Ali Majod. Lepas itu, saya suka sebut ESSO-Gapena

tanpa mengetahui apa maksudnya.

Saya bukanlah pandai melukis, tetapi semasa darjah

1-3, kerja rumah yang saya akan siapkan dahulu adalah

subjek Pendidikan Seni. Masa darjah 6 pula, pernah saya

dapat markah 0 kerana karangan saya terpesong dari tajuk

asal. Mak ajar saya untuk menyelitkan peribahasa dalam

karangan. Contoh yang paling ingat, “jika tidak dipecahkan

ruyung manakan dapat sagunya.” Dan akhirnya, UPSR saya

dapat A.

Di rumah, ada beberapa situasi seni yang saya ingat.

Abang wakil sekolah dalam pidato dan Kak Long penyajak.

Setiap kali ada pertandingan atau persembahan, ayah akan

minta abang berpidato dan kak long bersajak depan ahli

keluarga. Sehingga mereka berdua menangis keseronokan

kerana ditegur ayah.

Masa sekolah menengah, barulah saya dapat jenguk

buku-buku dalam almari ayah, yang paling menarik Bunga

Rampai Melayu Kuno.

RIDHWAN

Baik, bagaimana dengan sekarang? Boleh kongsikan

tentang KITARTB dan mengapa ia diasaskan di Kota Bharu?

EZZMER

Boleh dikatakan saya hargai minat saya semasa kecil. Saya

masih menulis dan membaca, juga meminati lukisan.

KITARTB adalah gambaran yang pernah singgah

semasa saya mula tinggalkan Kota Bharu 2006 dahulu.

8


Tetapi ia kurang jelas dalam bentuk apa. Cuma satu ruang

aman yang boleh terapkan minat saya tadi. Dan masa

terbaik untuk memulakannya adalah semasa suasana

sastera, seni dan budaya sedang di tahap tertinggi sekitar

2010-2014. Itu di mata saya yang mungkin sebelum ini dan

selamanya pun tak disisihkan.

Saya lihatnya dari sudut alternatif. Dan, masa itu,

Kota Bharu ikuti rapat Kuala Lumpur dan negeri lain,

dengan beberapa kolektif tumbuh. Mungkin sebelum era

buku indie melambung naik lagi. KB masa itu ada

Papakerma, Kedai Hitam Putih, Buku Jalanan (KB, Bachok,

Machang) dan rakan-rakan di KB Free Market. Juga pelukis

dan produk DIY, serta kugiran-kugiran yang pernah lepak di

Gegey Music Studio. Mungkin lebih awal dari itu ialah era

‘payung’, ‘Pade Bas’, & ‘parking’.

Di akhir Disember 2015, saya lihat KB perlu ada satu

ruang lagi, iaitu Kedai Buku Alternatif. Juga sebuah ruang

yang boleh diisi semua sisi di atas bilamana kita sedang

bergabung untuk sebuah acara. Secara mundar-mandir

untuk keputusan berhenti kerja di Kuala Lumpur, KITARTB

dibuka.

Sebelum itu, saya ada membuka akaun Instagram

dengan nama Sarang Buku untuk menjual beberapa buku

dari Indonesia. Masa itulah, saya terdedah dengan

beberapa kedai buku independen di dalam dan luar negara.

Saya tertarik dengan terma yang digunakan di Turki. Mereka

menyebut buku sebagai Kitap dan kedai buku sebagai

Kitapçi.

Diputuskan, nama yang sesuai untuk kedai buku

alternatif di Kota Bharu ialah KITARTB. Hasil gabungan

Buku (kitab) + Seni (art) dan ia disebut KITAB. Selepas

melihat di Kota Bharu k ebanyak an k edai buku

menggabungkan elemen buku & alat tulis.

KITARTB berinteraksi dengan awam melalui pelbagai

acara. Ini jalan alternatif yang paling ketara kerana

kebanyakan kedai buku di Kota Bharu hanya melakukan

promosi terhadap jualan. Setakat ini, boleh dikatakan

hampir setiap minggu acara berkaitan buku dan seni

9


erlangsung di KITARTB. Selain beberapa penglibatan

acara di luar kedai.

Setakat dibuka pada 13 Mei 2016 iaitu 6 bulan lalu,

KITARTB sudah dapat dihidu oleh setiap daerah di dalam

Kelantan. Bercadang untuk ke luar Kelantan dalam tahun

hadapan.

RIDHWAN

Bagaimana dengan pemilihan lokasi KITARTB?

EZZMER

Pilihan lokasi di aras tiga Bazar Tok Guru secara permukaan,

ia tidak sengaja. Berlaku selepas berjumpa dengan Dhani

Ahmad. Setuju kerana harga sewanya murah dan untuk

permulaan ia berbaloi.

Semasa membuat bayaran deposit dan beberapa

bulan sewa saya mula terdedah kepada konsep. Di mana,

masyarakat KB khususnya tahu, Bazar Tok Guru (bahkan

tiga lagi bazar di KB) hanya dipenuhi dengan jualan

berasaskan kain baju. Itupun di aras satu. Aras dua dan tiga

keseluruhannya mati.

Jadi, KITARTB tekad mencelah dengan kedai buku.

Dengan itu senang untuk masyarakat perhati. Walaupun

pada permulaan ia nampak agak ganjil. Lama kelamaan

tajam juga.

RIDHWAN

Antaranya, aktiviti apa yang telah dijalankan di KITARTB,

dan untuk masa depan aktiviti-aktiviti sebagaimana pula

yang mahu diteroka?

EZZMER

Banyak berkisar tentang sastera, seni dan budaya. Pada

bulan kedua pembukaan, kita dijemput untuk memeriahkan

acara Art In The Alley di sebuah cafe di sini. Itu titik tolak ke

arah pembentukan ATOM dan acara Art In The Garage pada

Oktober lalu.

Seterusnya kita telah menjadi tuan rumah kepada

Jelajah Pelancaran Buku Sajak Gustavo, karya Mohd

10


Jayzuan dari Rabaklit & Projek Rabak, di Kelantan. Bagi

saya ia sebuah tunjuk ajar untuk melangkah ke seterusnya.

Pada acara itu juga, kita selitkan elemen tradisional iaitu

rebab.

Untuk kelangsungan kedai, kita adakan Diskopi. Satu

acara diskusi berkaitan sastera, seni, budaya dan hal-hal

setempat. Setakat ini, kita buat setiap hari Jumaat. Secara

tidak sengaja, KITARTB dapat ilham untuk Kelab Buku.

Untuk yang hadir dan cenderung kita telah wujudkan

KALAM. Dari situ kita mula gerakkan Projek Zine Kelantan.

Harapnya berlangsung untuk beberapa siri ke hadapan.

Selainnya, satu acara pameran dan sembang seni

Suar Se-Nukih Mek, telah diadakan baru-baru ini.

Mengetengahkan dua pelukis mandiri perempuan yang

telah banyak menghasilkan karya yang bagus.

Untuk keberkesanan lanjut, saya sedang fikirkan

sebuah kafe buku. Kerana plan awal KITARTB adalah itu. Ia

mungkin secara minimal di dalam lot sekarang.

Saya bersama KITARTB Ink mengalukan lebih banyak

percetakan dan penghasilan buku daripada masyarakat

setempat. Juga ruang-ruang seni diwujudkan.

Untuk aktiviti seterusnya kita bercadang untuk

bukukan biografi penulis-penulis Kelantan. Terdahulu dan

terkini. Boleh jadi merangkumi jelajah sastera ke tempat

asal mereka.

Kita juga sedang meneliti dua tiga novel bertemakan

Kota Bharu-Kelantan seperti, Orang Kota Bharu, Melati Kota

Bharu, Paduka Che Siti dan beberapa buku sejarah

tempatan. Kemudian diadun menjadi sebuah dokumentari.

RIDHWAN

Kota Bharu ini apa esensi perasaannya yang anda perasan?

Selain itu apa pendapat anda tentang Malaysia? Apa yang

terlintas bila ia disebut?

EZZMER

Kota Bharu bernafas dengan roh kekitaan. Majoriti isinya

adalah Melayu di samping minoriti masyarakat Cina dan

India. Tetapi ia telah sejiwa di atas beberapa faktor.

11


Kalau dilihat masyarakat Cina di kampung-kampung,

mereka telah hidup dengan mengabdikan rasa Kota Bharu

itu sendiri. Mereka mengamalkan cara hidup, loghat, makan

dan pakai sama seperti masyarakat Melayu.

Kota Bharu berkongsi semangat berniaga pada

semua isinya. Baik Melayu, Cina dan India masing-masing

meminati bidang perniagaan. Begitu juga soal seni dan

budaya. Kita ada Tok Dalang dari masyarakat Cina dan juga

Tok Jogho Dikir Barat dari masyarakat India

Dan tuntasnya, Kota Bharu adalah Kota Bharu. Tidak

wujud Melayu, Cina dan India.

Malaysia adalah sebuah eksperimen yang panjang

melalui gabungan dari pelbagai unsur. Dalam pada

menentukan pembolehubah mana yang sesuai kita sedang

tersangkut di pelbagai proses termasuklah mengenal

sumber diri. Dengan sukatan yang dicampur aduk dalam

tabung uji yang dinamakan negara kita masih separa siap.

Nyatanya, apabila kita lebih selesa meraikan

semangat kenegerian lalu rasa longlai bila disatukan di

bawah Malaysia. Kerana apa? Kerana kita sudah cuba cari

nada Malaysia tetapi masih lagi ada bunyi negara lain.

Termasuklah soal rasa dan jiwa. Saya pun belum jelas

samada Malaysia ada Malaysia yang sebenar.

RIDHWAN

Baik, rasanya sampai sini interviu kita, ada apa-apa nak

tambah atau ada kata-kata akhir?

EZZMER

Segelintir dari kita terlalu menghormati ciptaan atau ruang

seni di luar sehingga tidak sedar begitu ramai yang teruja

dengan keunikan negeri sendiri.

KITARTB di Kota Bharu sebagai kedai buku alternatif

adalah penambah perisa kepada yang sedia wujud. Ia akan

bergerak ke hadapan di atas kesinambungan olahan orangorang

sedar terdahulu. Dari segi sejarah, Kelantan begitu

rancak dengan usaha memartabatkan seni penulisan itu.

Pustaka Aman Press salah satunya. Esei tentang kajian

novel melayu terawal oleh William R Ruff juga ada

12


menyatakan ia dari Kelantan (1922). Walaupun penerbit

buku tersebut (MAIK) masih wujud & aktif sehingga

sekarang tetapi masih ramai yang tidak dipeduli. Begitu

juga dengan inisiatif dari Perpustakaan Negeri dan ruangruang

lain seperti Buku Jalanan, kolektif penerbitan zine

dan seangkatan dengannya. Dibiarkan sepi.

Kerana segan dengan tokoh-tokoh penulis seperti

Abdul Kadir Adabi, Asaad Shukri, Abdullah Nakula, Abdul

Razak, S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan ramai lagi,

KITARTB Ink wujud sebagai sebuah percetakan alternatif

untuk menyambut cinta mereka. Dan pastinya harapan

inisiatif ini adalah untuk menyediakan akses kepada para

penulis di sini.

Saya akhiri dengan ucapan terima kasih untuk

ruangan ini. Harapan saya, sikap berpuak-puak dan ‘akuaku,

mung-mung’ yang wujud di Kelantan sehingga

mengenepikan budaya dan keramahan seni terhapus

sedikit demi sedikit. KITARTB percaya ketidakpedulian

masyarakat dapat dihindari dengan kesegaran seni sedia

ada.

RIDHWAN

Baik, terima kasih dan semoga maju jaya!

EZZMER

Terima kasih, Wan. Tak sabar tunggu monokrom.

13


Mabuk Kuasa

Petak Daud

“Kau tahu, siapakah yang paling beruntung ketika

perang berlangsung? Tukang jahit bendera,”

katanya.

Saya diam sahaja. Apabila ia sedang mabuk

begitu, memang banyak perkataan-perkataan

yang keluar dari mulutnya. Apabila terlampau

banyak perkara yang diucapkan, saya sehingga

menjadi tidak tahu yang mana satukah harus

dipercayai dahulu.

“Perang memerlukan modal yang besar,”

katanya lagi. “Kerana kematian di dalam perang

adalah perkara yang mudah,” tambahnya.

Tangannya sesekali dilambung ke atas,

sesekali dihempas ke tanah. Ia bercakap dengan

suara yang menggegar. “Oleh kerana itu, apabila

kau akan berperang, pastikan kedudukanmu di

bulatan paling nyaman. Pastikan keadaanmu

yang paling menguntungkan.”

14


Dia memandang anak mata saya.

Memandang kepada seluruh tubuh saya. Bahu

kiri saya dipegangnya kemas. Tapak tangannya

menggoyang-goyangkan bahu. “Kau harus

berada di posisi yang mudah. Supaya

peperanganmu tak berhasil menumpahkan

darah,” katanya.

Saya mendiamkan diri, sudah terlalu lama.

Selepas berjam-jam ia membukakan mulutnya

yang busuk dan masam, mengeluarkan

perkataan-perkataan yang jelas di anak matanya,

yang tidak ia maksudkan, akhirnya saya bertanya.

“Di peperangan manakah, yang tidak

menumpahkan darah?”

Dan dia tersenyum. Senyumnya pula,

melebar ke telinga. Dari tangan kanannya yang

dijatuhkan dari bahu saya, ia menyeluk poket dari

dalam baju kot hitamnya yang tebal, dan mahal.

“Peperangan manakah yang tidak menumpahkan

darah, saudara?” tanya ia semula sambil terus

merenung ke mata saya.

Tangan kami semakin berdekatan. Dan di

dalam huluran lembut sopan tangannya,

terkandung berhelai-helai Ringgit Malaysia.

“Peperangan mana, ya?” tanya ia.

15


19 Partikel Cerita

hackeleh

1. Lelaki yang menjaritengahkan

matahari disambar petir.

2. Dalam satu temuramah, Kuala

Lumpur mengakui ia pernah

tertidur berkali-kali.

3. Gadis yang ingin maut di Everest

mati di dalam peti ais.

4. Seorang panelis tertidur

menunggu giliran bercakap.

16


5. Dua LRT penuh penumpang dari

arah berbeza berhenti seketika di

tengah-tengah landasan untuk

bersembang.

6. Selepas berhimpun, BERSIH dan

Baju Merah beramai-ramai ke

Stadium Merdeka untuk

menyokong pasukan Selangor.

7. Seekor gamat yang luka saya

sapu ia dengan minyak gamat.

8. Seorang gadis jatuh ditimpa

tangga dan cat.

9. Sekiri kasut mengikat tali sekasut

kanan.

10. Malam ini Kuala Lumpur tidur

berdengkur.

17


11. Pagi terjaga berpeluhan.

“Kenapa?” tanya seorang

penyair. “Aku bermimpi ngeri,

malam menjadi abadi.”

12.Pinocchio dijadikan ampaian.

13.Sekumpulan lelaki membentuk

kugiran bernama Amoeba.

Mereka berpecah selepas

menyanyikan lagu bertajuk Binary

Fission di perkarangan Sogo.

14. Angsa-angsa berkumpul di Tasik

Titiwangsa untuk berenang robik.

15.Ratusan ribu tarantula menyerang

Menara DBP selepas mengetahui

kewujudan perkataan tular.

16.Seikan lumba-lumba mengetuai

acara tarian zumba di tepi pantai

di Teluk Kumbar.

18


17. Kawan saya terbatuk-batukkan

guli. Dia menjualnya seringgit

satu plastik kepada budak-budak

taman.

18.Seunikorn beratur membeli

popcorn di TGV Cinema.

19. Pemanasan global telah

menyebabkan matahari berpeluh

lalu terpadam.

19


Penulis Wanita

Malaysia

Regina Ibrahim

Baru-baru ini ada anak-anak yang mungkin tidak kenal latar

belakang saya bertanya, kenapa mama tidak menulis

tentang penulis wanita Malaysia?

Itu hal yang berat, apalah yang mahu saya tulis?

Kalau mama menulis ia tidak akan adil kerana mama

bukan pembaca tegar. Mama juga bukan bekas pelajar

sastera yang mudah untuk mengkagumi penulis itu dan ini.

Mama mebaca naskhah atas isi yang dihidangkan, itupun

kalau menarik saja.

Bukan tidak ada karya penulis besar yang mama

ketepikan tapi kerana bosan dan tertinggal zaman cara

penceritaannya. Amalan sopan, kalau tidak menarik baik

diam-diam, sudah lama diamalkan. Bahaya, kerana mama

juga menulis, takut jadi perbalahan Mak Limah dan Kak

Lijah yang memalukan dunia yang kecil ini.

Pasca Merdeka, penulis wanita sama seperti penulis

penulis lelaki lain, harus bergerak memberi pencerahan

jiwa dan semangat kepada pembaca. Mereka merintih lara

tentang kehidupan sebelum itu, merindui ibubapa,

20


kematian, kemusnahan, kisah-kisah sosial dan mengutuk

tekanan-tekanan kolonial. Diselitkan juga kisah cinta

khayalan yang sama sahaja di serantau asia.

Penulis wanita tidak dapat lari dari peranan mereka

sebagai ibu, kakak, adik dan manusia yang mahu ikut sama

membangun sewaktu menulis. Saya secara peribadi

melihat penulis-penulis wanita awal agak kurang berani

melepasi ruang wanita mereka di zaman itu. Membaca

karya-karya mereka di sekitar 80an sewaktu punya akses

buku-buku perpustakaan, mereka seolah-olah tidak muncul

dan tidak digemari oleh penerbit di zaman itu. Rumah Itu

Duniaku, Antologi Kasih Entah Di Mana dan penulis penulis

Asia dalam bahasa Inggeris banyak bezanya. Selainnya

hanyalah penulis-penulis pojok di akhbar. Yang mungkin

ada yang bersorok di sebalik nama samaran (sungguh aneh

fenomena ini).

Namun begitu komitmen para penulis wanita kita

telah terbukti sejak dahulu lagi. Mereka tidak berhenti

menyumbang dalam setiap bidang penulisan seperti puisi,

cerpen, novel dan drama. Mereka yang hebat-hebat

mungkin hilang bersama adat perkahwinan, rumahtangga

dan tugasan tradisi menjadi ibu. Atau ditelan masa begitu

sahaja kerana tidak kuat.

Nama-nama besar seperti Zurinah Hassan, Fatimah

Busu, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim dan Prof. Siti

Zainon Ismail adalah nama yang tidak asing lagi dalam

dunia kesusasteraan negara. Kalau sekali pun tidak

menggemari karya mereka, mereka ini ada, wujud dan

pernah berjuang dalam bidang penulisan.

Harus ingat, ada yang hanya menjadikan bidang

penulisan ini sebagai langkah cari makan, menulis sebagai

kerjaya sewaktu mengajar di kolej atau universiti atau

memberi kursus-kursus tatabahasa dan tatamenulis untuk

mereka yang minat menulis.

Kesemua persoalan ini muncul mungkin akibat

adanya anugerah sasterawan negara itu dan ini,

membuatkan khayalak jadi tercari-cari siapa, di mana dan

apakah produk mereka? Terlalu ramai dan terlalu rumit

21


penilaiannya akan jadi. NASIB yang baik mungkin akan

meletakkan penulis tersebut ke hadapan.

Saya sering tertawa melihat budaya mahu ke depan

ini. Bagi saya ia lucu, tidak kira karya kamu berbentuk

akademik atau berbentuk fiksyen. Bagi saya sebagai penulis

tugas kamu hanyalah berkongsi rasa, isi dan nilai-nilai yang

kamu mahu orang mengerti. Jadi, saya gawat bila ditanya

siapalah penulis wanita alaf baru sedia ada yang kamu

minati? siapa dia? kisah apa yang dia tulis? saya jadi

tertanya tanya.

Terfikir-fikir siapakah penulis wanita sedia ada yang

mampu menggalas tugas-tugas seni penulisan? Perlukan

mereka hadir dalam bentuk yang sama untuk berkisah

tentang kemelut wanita, perjuangan petani? peperangan?

kisah suami tidak adil? atau perlukah mereka mengupas

hal-hal baru dunia? rogol, pedofil, agamawan tidak adil,

seksualiti anak-anak? tahap moral yang berubah? wanita

alaf baru dan pilihan?

Melihat semua ini kita sendiri sudah sedia maklum,

bentuk informasi dan penulisan sudah jauh berubah dan

dengan sendirinya mahu menyertai zaman.

Sebenarnya sebagai penulis transwoman saya

berdebar bila diwar-warkan ada penulis wanita baru. Saya

jadi teruja. Sifat saya sebagai pembaca masih sama, tiga

muka surat masih gagal memikat, saya akan tutup buku itu.

22


Cari Makan

Ali Aiman

Seorang penganggur KL

melencong keluar jalan

utama, lalu berpsikogeografi

dari trotoar Indo ke lorong

Siam memburu kerja,

mencari makan. Lelah,

lapar… jalan utama tadi

sudah hilang.

23


24


25


26


27


Durian Mas Tulen

Zedeck Siew

Cium aroma durian masak. Memenuhi suasana

malam. Kau menguap keletihan.

Detak! Bunyi buah meledak atap. Kau

tersentak. Ia menderam, berguling-guling atas

bumbung – lalu jatuh ke halaman rumah. Durian

jenis Mas Tulen ini bahaya! Lebih berat

berbanding durian biasa.

Kulit buah itu dah retak. Isi kuning

mengemas bawah sinaran lampu beranda,

magnet pandangan mata.

Tapi Durian Mas Tulen bukan untuk dimakan.

Sebutan “isi kuning mengemas” bukan

bersifat figuratif. Warna emas kekuningan isinya

disebabkan kandungan emas: unsur Au, nombor

atomik 79, logam mulia yang amat bernilai

harganya, tanda kebesaran raja-raja.

28


Ya, setiap buah durian ini mengandungi

emas.

Jika dibakar and ditapis, selonggok durian

kultivar Mas Tulen boleh menghasilkan satu tahil

emas, iaitu lima puluh gram – iaitu lapan ribu

ringgit, mengikut harga pasaran. Lumayan!

Tapi taklah duduk menunggu luruh saja. Perlu

berusaha juga. Perlu berjaga-jaga. Ada yang

berniat jahat.

Tahun lepas kau diserang penyamun:

bernada bengkeng, bersenjatakan parang,

bertopeng sarung kaki perempuan. “Mana itu

Durian D916? Ha? Mana?” suara mereka.

Kau menggigil ketakutan. Akhirnya, hilang

hasil kau dibawa lari.

Tahun ini, kau tegakkan pagar kawat dawai

keliling laman. Pasang CCTV. Smartfon diprogram

untuk memanggil nombor 999 dengan sepetik

butang. Kau dah sedia.

Lesen persendirian untuk senjata api pun

ada. Pistol yang dipegang menjadi tangkal

keyakinan.

Marilah, si haram jadah! Kau duduk di

anjung rumah, berjaga-jaga, satu malam tak

lelap, mencium aroma untung musim ini.

29


Penang 2030

Regina Ibrahim

Tamat sahaja tugas, Zilla cepat-cepat menekan semua

punat yang ada di Pusat Sumber Dewan Sri Pinang, selepas

membuat pengumuman dari kaunter. Tiada respon di panel,

menunjukkan Pusat Sumber sudah kosong pada pukul 5

petang. Selesai semua dia meluru menaiki eskalator

menuju stesen keretapi pantas ke Balik Pulau Maju. Hari ini

dia terlambat, jadi masih ada 28 minit untuk menanti.

Dia mengeluarkan buku vintaj: Penang 2016 bagi

mengisi ruang waktu menanti.

Sayang pusat sumber banyak yang sudah ditutup.

Generasi baru lebih suka melayari buku elektronik pantas

untuk informasi. Zilla masih gemarkan bau kertas dan

menyelak halaman demi halaman. Sepatah kata temannya,

“kuno”.

Buku bersaiz sederhana itu menarik sekali, kompak

dan ada gambar gambar berwarna. Diselaknya satu

persatu… ghairah mahu melihat apa dia… 2016.

1. Orang lama-lama berpakaian pelik termasuk

ketua menteri yang berambut rapat. Ada

kapsyen mengatakan dia berbangsa cina.

Orang dulu ada pembahagian bangsa

rupanya.


2. Bangunan yang pernah mendapat jolokan

bangunan tertinggi, Komtar (ni mesti dekat

stesen tengah di bandar GTtown). Nampak

familiar, macam sekolah kota… hmm tak syak

lagi, cuma sekarang lebih baru dan berkilat.

3. Ada gambar-gambar sekitar pantai, macam ini

rupanya pantai asli. Hotel hotel kelihatan

usang sekali. Ada gambar pasar pasar

berlampu, kelihatan sangat menarik.

Ada penerangan panjang dua muka surat, dalam Bahasa

Inggeris, Zilla terfikir samada itu bahasa utama Penang

ketika itu. Diteruskan lagi melihat gambar-gambar.

4. Ada gambar makanan pelik-pelik… mee

sotong, mee rebus, mee hokkien. Buruk lantak

orang dulu rupanya. Mereka menggelar itu

semua sebagai ‘Penang Delicacies’.

5. Ada pesta. Macam macam wajah ada di situ…

semua kelihatan gembira. Ada pesta filem

yang penuh dengan wajah-wajah

antarabangsa. Ada pesta yang digelar George

Town Festival. Menarik sangat.

6. Rupa-rupanya ada banyak galeri lukisan di

Penang 2016. Ini termasuk juga lukisan-lukisan

di dinding batu yang buruk. Hasil karya

pelukis dari luar negara pula, pelukis

tempatan mungkin tidak bagus. Hmm… sudah

lama negeri ini bersifat internasional rupanya.

Dewan Sri Pinang juga ada kawasan pameran

lukisan, sekarang tidak ada lagi. Ditutup

31


dengan alasan tidak mendapat sambutan dan

tiada lagi wujud apresiasi seni. (Apa tu? Tak

faham Zilla.)

Semakin seronok Zilla menyelak halaman Penang 2016. Ada

laporan cuaca bahawa Penang sangat panas di tahun itu.

Heran? Tidakkah mereka terfikir tentang weather incubator

seperti sekarang, iklim dingin sedang-sedang yang nikmat

ini. Kesian mereka, patutlah gambar gambar wajah mereka

berkilat dan berminyak dalam buku tersebut.

7. Tertawa Zilla melihat stesen penerbangan

dulu di Bayan City Centre (nama lama Bayan

Lepas). Pelik, pesawat udara yang besar-besar

dan kuno; ada MAS, Air Asia, Malindo dan

Qantas. Terlalu besar, mana ada orang pakai

lagi. Dipuji-puji pula kadar 1 jam untuk ke

kuala lumpur… lucu. Sekarang press button

travel tak sampai 30 minit.

8. Ada juga halaman tentang rusuhan di Padang

Kota. Dengan wajah-wajah cemas penduduk.

Menakutkan sekali. Ada juga pertuduhan

tentang Ketua menteri songlap harta kerajaan

negeri dan pertelingkahan kaum. Ada wajahwajah

marah di situ.

Zilla selak cepat-cepat dia tidak suka halaman itu.

9. Ada gambar pengangkutan lama yang digelar

feri. Owh! Macam ini rupanya, buruk sekali

kenderaan air itu… dipuji-puji dengan ‘only 3

places in the world Penang, Macau and

Portugal’. Sekarang semua pakai underwater

rail.

32


Tersenyum Zilla sendirian, sambil cuba mengimbang lama

dan baru. Tidak perlu judgemental.

10. Zilla membuat keputusan bahawa manusia

zaman itu rakus. Pemimpin sahaja yang ada

dalam halaman halaman bergambar, gambar

dia jabat tangan, gambar dia memberi

ucapan. Hampir dalam semua segmen ada

saja wajah dia… dikelilingi para balaci politik

berwajah ceria.

Zilla membuat andaian sendiri-sendiri yang pemimpin di

zaman itu gila publisiti. 2030 manalah ada orang yang

terjojol-jojol ke depan mahu dirakam wajah mereka. Zaman

ini zaman kebenaran, ada mesin menilai tahap toleransi,

hormat dan manipulasi manusia. Sesiapa yang mahu

memimpin harus mengambil ujian ini. Mereka akan diuji

tahap setia, ikhlas, niat dan patuh. Jadi manusia tidak lagi

berlumba-lumba ke depan. Melihat gambar sahaja Zilla

sudah boleh menduga, manusia di zaman 2016 sibuk mahu

ke depan, mahu dilihat hebat. 2030 sudah tidak begitu lagi.

“Nasib baiklah aku lahir zaman ini,” dengus Zilla

dalam hati penuh kesyukuran.

Fast Elektronik Train pun tiba. Melangkah masuk, Zilla

seolah-olah terpanggil, dia teringat datuknya yang

kononnya dianiaya oleh kerajaan negeri. Dia akan melawat

bangunan persemadian tablet abu mayat dan akan

memohon restu untuk menyemak kembali USB datuknya

menggunakan peralatan di Pusat Sumber. Entah kenapa dia

tiba-tiba tertarik mahu melihat kembali peradaban di tahun

2016.

33


Sebarang maklumbalas boleh hubungi:

litzin.kerjatangan@gmail.com

Teks & foto setiap karya © kontributor/penulis

Guest editor dan susunan: Nurul Aizam

Desain, sub-editor & ilustrasi oleh

Ridhwan Saidi © 2018

Dicetak dan dijilid di Malaysia

oleh Rorschach Ink.

More magazines by this user
Similar magazines