kerja tangan
O
Rorschach Ink
Kerja Tangan adalah ruang katalis di mana penulis-penulis
dapat menerbitkan penulisan mereka hasil editorial rakus
dalam format ringkas tidak melebihi 600 patah perkataan
meski ada juga yang melebihi had tersebut tetapi dengan
syarat utama iaitu ia mesti bagus atau paling kurang:
luarbiasa. Rata-rata teks di dalam litzin ini samada ia
diterbitkan penuh dengan suntingan atau bagi sebilangan
teks yang belum cukup bagus, saya akan pilih bahagian
terbaik (boleh jadi dalam bentuk perenggan, stanza atau
baris ayat) dan cuba bikin teks tersebut agar ia boleh werk
bersendirian tanpa bantuan klise lain.
Kontributor dialu-alukan (esei, cerpen, puisi etsetera) dan
litzin ini selain diterbitkan secara berkala dan gratis via
laman sosial digital, ia juga diterbit dan dijual dalam bentuk
cetakan fizikal dalam usaha untuk menampung kerja-kerja
editorial dan kelangsungan litzin ini.
Maklum balas dan karya boleh diemel ke:
litzin.kerjatangan@gmail.com
kandungan
Interviu Walid Ali
oleh Ridhwan Saidi
3 Scanography
oleh Nor Suhada
Menjual Nilai Dalam Penulisan
oleh Regina Ibrahim
Hitherto
oleh Azrin Fauzi
I n t e r v i u
Walid Ali
Ridhwan Saidi
Berikut merupakan temubual bersama Walid Ali
via whatsapp. Sebelum ini kami pernah
berkerjasama dalam siri Teater Modular, malah
beliau merupakan satu-satunya pengarah yang
mengarah dalam ketiga-tiga set Teater Modular
(Mac 2017, Oktober 2017, dan April 2018) dengan
playlet Brokoli, Korban Bulan Madu dan Sesuap
Kaseh.
RIDHWAN
Walid, kita boleh mula dengan sedikit latar saudara
sebelum masuk ke projek Spektrum. Apa itu teater?
WALID
Baik. Saya seorang pembuat idea dalam persembahan
teater atau apa sahaja seni. Saya tidak menganggap saya
sebagai pengarah, penulis atau performer. Bermula dengan
membaca kritikan teater dalam buku Dewan Bahasa dan
Pustaka zaman sekolah dan juga penulisan Noordin Hassan
dalam Komsas membuatkan saya mula suka teater. Saya
rasa ada magis dalam dunia teater. Walaupun pada waktu
itu hubungan saya dengan teater hanya dari pembacaan.
Teater di sekolah agak asing. Jadi saya mula belajar di
7
UiTM. Waktu itu, saya minta Pengurusan Seni sebab saya
takut keluarga saya tidak setuju kalau saya ambil teater dan
saya pastinya tiada hujah kukuh kalau ada orang tanya
nanti kerja apa lepas habis belajar. Selepas dapat diploma
baru yakin pohon teater dalam sarjana muda. Dalam saya
belajar zaman sarjana muda saya ada tubuhkan kumpulan
bebas yang mana ahlinya boleh berubah-ubah. Luar Kotak
nama dia. Masih aktif. Tapi sedikit perlahan sebab sekarang
sibuk. Waktu belajar itu saya jumpa pengkarya yang ada
idea bagus seperti Hamzah Tahir, Norzizi Zulkifli dan juga
Syahrul Fithri Musa. Mereka semua ini jadi inspirasi saya
waktu itu untuk buat karya. Mereka juga sangat supportif.
Ada juga nama lain tetapi, nama mereka ini sangat
dominan dalam pembentukan idea teater saya. Kemudian
saya ada dalam industri teater dan seni persembahan.
Kebanyakannya saya buat rekaan cahaya untuk konsert dan
teater. Saya juga banyak buat rekaan set. Kemudian, saya
diberi peluang sambung belajar ke luar negara. Saya ambil
dan belajar di United Kingdom. Sebab waktu itu, saya nak
sangat tengok Shakespeare versi original (dalam pelat
British) secara langsung dan nak sangat tengok idea-idea
teater kontemporari di tanah Inggeris itu.
Teater. Saya dididoktrin dengan pemikiran bahawa
teater ialah satu aktiviti langsung yang memerlukan
performer dan juga penonton. Idea ini sehingga saya pergi
ke United Kingdom juga tidak berubah. Tim Etchells dari
kumpulan teater Forced Entertainment 1 (kumpulan teater
luar yang sering jadi rujukan saya) juga ada idea yang sama
sewaktu saya berjumpa dia. Jadi sehingga sekarang, saya
melihat definisi itu masih boleh diguna pakai. Cuma ada
juga ahli akademik yang menganggap teater sebagai satu
persembahan yang lebih mengutamakan teks seperti teater
modern dan barat dan performance pula lebih kepada
visual, pergerakan dan kurang teks seperti teater
eksperimental dan teater tradisional Asia. Apapun, saya
1 Forced Entertainment ialah syarikat teater experimental di Sheffield,
England, ditubuhkan oleh Tim Etchells pada tahun 1984.
8
masih berpegang pada doktrin asal perlu ada performer,
penonton dan dijalankan secara langsung.
RIDHWAN
Boleh cerita lanjut pengalaman anda bertemu Tim Etchells?
Ia kedengaran menarik.
WALID
Forced Entertainment antara kumpulan teater yang benarbenar
saya ingin tengok dan jumpa. Saya menghadiri satu
kem di Brighton dan waktu itu mentor saya ialah Karen
Christopher. Karen sebelum ini ialah ahli Goat Island 2 dan
dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya tentang
membuat persembahan. Dia kata dalam beberapa minggu
lagi akan ada persembahan dari Forced Entertainment di
Sussex University. REAL MAGIC (2017) tajuknya. Saya
sempat berjumpa Tim selepas habis persembahan dan
berbincang sedikit tentang teater. Dia mempunyai vision
yang sangat baik dan terbuka. Pada dia, teater adalah
tentang kemungkinan dan permainan minda. Boleh jadi
idea itu tidak difahami. Tetapi yang utama ialah minda boleh
bergerak atau dijana. Dalam erti kata lain, pengalaman
menonton teater yang bagus tidak hanya menonton
persembahan yang boleh difahami tetapi juga kepada
keseronokan minda bergerak. Salah seoang daripada ahli
Forced Entertainment iaitu Jerry Killick ada bercakap
dengan saya tentang Malaysia. Katanya dia tahu pemuzik
bernama Pete Teo. Saya kata saya suka lagu dalam
TALENTIME (2009). Perbualan antara saya dan Jerry lebih
kepada bagaimana Jerry menyukai Malaysia. Pernah juga
dia tinggal di Malaysia. Perbualan saya dengan Tim pula
lebih kepada harapan Tim kepada kumpulan teater di dunia.
Dia mahu semakin banyak idea menarik dan di luar
jangkaan dibuat. Richard Lowdon pula mengatakan bahawa
keinginan dia untuk menyertai Forced Entertainment ialah
selepas dia melihat satu persembahan yang lain daripada
2 Goat Island ialah sebuah kumpulan performans kolaboratif di Chicago,
Illinois, U.S., dan ditubuhkan pada tahun 1987.
9
teater yang pernah dia tengok. Dia kata, ya! Teater boleh
dibuat begini. REAL MAGIC memang magis. Ia hanya satu
persembahan yang diulang-ulang tetapi sangat menarik.
Pengulangan itu dengan beberapa variasi saya lihat sebagai
bukan sekadar parodi rancangan televisyen tetapi juga
sebagai satu permainan perasaan apabila saya dapat
pelbagai rasa semasa menonton persembahan ini.
RIDHWAN
Sebut tentang Malaysia, bagaimana iklimnya teater lokal?
WALID
Situasi di Kuala Lumpur semakin baik dengan pertambahan
kumpulan pengkarya teater dari lepasan universiti. Namun
begitu, saya melihat universiti awam sukar untuk
menghasilkan kumpulan pengkarya baru. Kalau ada
mungkin ada seorang dua dari satu kelas. Selebihnya akan
tidak bernasib baik dan memilih bidang lain untuk survival.
Vakum ini tadi diisi oleh kumpulan pelajar yang belajar
teater secara tidak formal. Waktu saya masuk dunia
universiti baru saya faham masalah sebenar kumpulan
pelajar ini ialah pendedahan yang kurang dan juga silibus
yang tidak terurus. Stor Teater DBP mempunyai peranan
yang sangat besar dalam dunia teater Malaysia. Diisi oleh
pelbagai nama penggiat teater seperti Namron, Dinsman,
Fasyali, Syahrul Fithri, dan Aloy Paradoks. Istana Budaya?
Lupakan sementara. Kerana budaya menonton teater masih
rendah. Kita perlu banyakkan teater berkualiti dulu dari
kumpulan kecil ini. Yang paling utama, mereka perlu
konsisten.
Penutupan Stor Teater DBP untuk renovasi telah
menyebabkan kumpulan teater memilih untuk membuat
persembahan di pelbagai ruang persembahan alternatif
seperti ruang legar bangunan, kawasan parking dan juga
pusat beli-belah. Berbalik semula kepada kumpulan baru
ini. Mereka ada idea baru tetapi selalu terikat oleh pelbagai
kerisauan. Kematangan pengkarya juga semakin tumpul
apabila semakin senior. Mungkin kerana mereka kecewa
dan terus kecewa. Kerana mereka pernah ada harapan yang
10
semakin hari semakin nipis. Berbeza dengan penggiat di
luar negara. Mereka semakin matang malah semakin
mewah dalam karya apabila semakin banyak berkarya.
Kritikan sosial pastinya menjadi subjek popular dan
sehingga kini menjadi pilihan banyak pengkarya baru. Kita
semakin banyak pengkarya tetapi pertumbuhan pengisian
karya bermutu tidaklah banyak. Saya lihat ini sebagai satu
kelemahan yang berlaku kepada pusat pengajian tinggi.
Kita sukar menghasilkan pengkarya tahan lasak untuk
bertahan dalam dunia teater sekurang-kurangnya tiga tahun
selepas graduasi.
Kembali kepada suasana semasa. Pengkarya muda
kita semakin bertambah dari semasa ke semasa. Tetapi kita
kurang konsisten atas pelbagai faktor seperti kewangan,
ahli kumpulan dan keluarga. Dalam tempoh beberapa
tahun, biasanya 5 tahun dan ke atas pengkarya baru ini
akan berehat dari berkarya. Ini satu kerugian. Akhirnya
peningkatan pengkarya akan bergerak perlahan dan
seterusnya menyukarkan pertambahan penonton baru. Ada
juga kumpulan rakyat yang pernah menjadi pelajar seni
persembahan yang dahulunya minat teater atau pernah
menjadi penonton teater memilih untuk kurang menonton
teater dari kumpulan yang mereka rasa asing (kumpulan
penggiat teater baru). Kumpulan penggiat yang mereka
sokong zaman belajar dahulu pula akan berhenti selepas 5
tahun. Jadi kita hilang sekian banyak penonton kerana
kembali semula kepada budaya menonton teater itu tadi
yang hanya terhad kepada menonton teater dari rakanrakan.
Akhirnya, kumpulan pengkarya baru perlu mencari
penonton baru padahal sekiranya budaya menonton
semakin positif, mereka boleh sahaja menambah penonton
baru dengan bantuan penonton teater yang terdahulu yang
tidak pernah menonton teater mereka. Mungkin pengkarya
teater yang terlibat boleh memilih untuk membuat
persembahan sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk
terus menambah budaya penontonan teater dan survival
gaya persembahan kumpulan itu daripada terus mati. Kita
mula dengan target ini dulu.
11
RIDHWAN
Dalam membuat teater ada pelbagai cara, antaranya
berasaskan skrip, dan lagi satu ensembel pelakon
berkumpul dan baru gerakan digarap. Apa pun cara ia
berbalik kepada mutu/kualiti yang saudara tekankan.
Bagaimana boleh kita (orang umum) ketahui nilai mutu/
kualiti ini? Adakah perlu ada kedalaman reviu? Atau
kewujudan dramaturg yang berilmu? Atau hadiah
berprestij? Atau sesuatu?
Stor Teater DBP dicetus oleh Wahab Hamzah (tak silap
saya) dan ini memerlukan seseorang di dalam kerajaan
untuk peka seni dan ada rasa nak berkhidmat kepada
lingkungan masyarakat seninya (yang kebanyakan birokrat
tak ada). Dalam konteks teater, ruang yang gratis/murah
dan terletak di lokasi yang mudah diakses sentiasa
diperlukan. Apa pendapat anda tentang ruang untuk
berteater?
Saya jawab begini:
WALID
1) Reviu
Untuk mencari satu reviu yang baik, tukang reviu itu
perlulah orang yang mempunyai pengetahuan yang
mendalam dan seorang yang berani. Dalam hal ini, saya
melihat reviu sebagai satu proses pasca persembahan yang
akan membantu menjadi rujukan kepada kumpulan yang
direviu dan juga penggiat teater lain atau juga pelajarpelajar
yang mahu menyiapkan tugasan subjek kritikan
seni. Perbincangan ini kemudiannya akan berlarutan dan
berpanjangan kerana format reviu itu sendiri yang menjadi
satu rujukan jangka panjang. Di Malaysia, tidak banyak
tukang reviu yang bagus. Ada yang berpihak kepada satu
kumpulan yang dia suka. Misalnya, kalau dia kawan dengan
kumpulan yang direviu mungkin reviu dia akan bias. Ada
juga yang terlalu rigid kepada bidang yang dia minat. Saya
beri contoh. Saya banyak baca reviu yang ditulis oleh
seorang tukang reviu yang mengatakan bahawa:
12
Keutamaan seni persembahan teater ialah untuk
mengkritik sistem. Pengkarya perlu mengikut sekian-sekian
format kalau mahu mengarah teater. Sedangkan format
tersebut ialah formula yang diuji setelah sekian lama.
Dalam erti kata lain, klasik dan kurang praktikal untuk dunia
semasa. Dia akan puji semua persembahan yang banyak
mengeluh akan kelemahan sistem.
Ada pengkritik teater yang bagus. Semakin
bertambah dari semasa ke semasa tetapi, masalah utama
sekarang ialah banyak pengkritik terhad bidang ilmu
mereka. Masih tidak valid untuk menjadi rujukan kepada
persembahan yang bagus. Tetapi, boleh jadi rujukan untuk
perbincangan ilmu masa hadapan.
2) Dramaturg
Tidak dinafikan perkara ini. Dia akan menjadi mata
kedua kepada kumpulan teater. Biasanya kumpulan teater
akan jadi lebih baik sekiranya mereka ada dramaturg yang
bagus. Namun begitu, teater kembali semula kepada kerja
kolektif. Fungsi dramaturg akan jadi kurang relevan
sekiranya kolektif gagal.
3) Hadiah
Ini umpama satu penaik semangat. Sama seperti
pelajar yang mendapat pencapaian cemerlang dalam kelas.
Juga validiti diragui kerana kadang-kadang juri yang
memilih pemenang berdasarkan kepada kuota. Maksud
saya, pernah berlaku dalam satu penganjuran penjurian
teater tempatan, pelakon popular yang terkenal di kaca TV
memperoleh pelakon terbaik padahal ada lagi banyak
pelakon teater yang lebih baik bertanding juga. Cuma
mereka tidak popular. Kuranglah populariti majlis itu kalau
pilih pelakon teater yang bagus itu tadi. Dan ya. Ada banyak
lagi keputusan yang boleh diragui.
Boleh juga membawa kesan negatif kepada
persembahan kumpulan. Format pertandingan untuk
Festival Teater Malaysia menyebabkan setiap tahun kita
akan melihat teater yang boleh membunuh (deadly theatre:
Peter Brook). Dan kumpulan ini biasanya akan mempunyai
13
perasaan negatif kepada kumpulan lain. Walhal, berteater
hanya untuk keseronokan, kepuasaan jiwa pengkarya dan
juga penonton.
4) Lain-lain
Saya bahagi kepada dua kepuasan. (1) Kumpulan
performer (2) Penonton. Kepuasan kumpulan performer
ialah dari proses menjalankan persembahan sehinggalah
tamat persembahan. Sekiranya pengkarya berjaya
menyampaikan apa yang mereka ingin kepada audiens itu
sudah menjadi kejayaan. Boleh jadi proses teater itu
serabut tetapi mereka berjaya meningkat kualiti idea dan
persembahan. Ini kepuasan dan kualiti yang ada dalam
kumpulan. Penonton pula datang dari pelbagai latar
belakang. Kualiti pada saya ialah persembahan yang
berjaya membawa kita masuk dalam dunia teater itu
sendiri. Tidak dihasilkan berlebih-lebihan ataupun sekadar
cantik luaran. Kalau teater itu sedih maka, penonton perlu
rasa sedih. Kalau ia satu komedi, ia perlu boleh geletek
penonton. Informasi juga tidak boleh seperti kita ini terlalu
hebat seperti menganggap semua penonton itu tidak bijak.
Saya tidak setuju kalau ada orang mengatakan fungsi
utama teater sebagai satu dakwah atau pendidikan. Ini satu
masalah kerana akhirnya nanti karya yang terhasil akan
menjadi satu ceramah agama atau pembentangan
membosankan di dalam kelas. Boleh jadi satu kaedah tetapi
bukan satu keutamaan menghasilkan teater. Saya percaya
teater itu satu makanan jiwa. Perlu cukup-cukup. Kalau
terlalu sikit makanan (terlalu eksperimen) dipersembahkan
maka, kita akan terus lapar. Kalau terlalu banyak (terlalu
informatif) akan rasa mahu muntah. Jiwa semua orang ada
dan bahasa jiwa lebih kurang sama antara pelbagai budaya.
Ini yang mungkin boleh disentuh oleh pengkarya teater
dalam menghasilkan kualiti. Apapun, teater ialah aktiviti
sosial yang seronok. Sama seperti kita sembang di kedai
kopi. Kalau anda performer yang bagus, kita boleh minum
bergelas-gelas air selama berjam-jam di kedai kopi.
Begitulah tahap kualiti persembahan yang bagus. Memberi
ketagihan.
14
Ruang teater
Ya benar. Wahab Hamzah orangnya. Suasana seni
persembahan di dunia lebih kurang sama sahaja. Maksud
saya dari aspek kebolehan untuk menjadi sumber
pendapatan. Banyak pengkarya teater di United Kingdom
misalnya bergantung kepada dana-dana kerajaan untuk
berkarya. Kerana itu, mereka nampak sedikit bertuah
berbanding Malaysia. Birokrat tempatan tidak melihat
keutamaan seni dalam membentuk bangsa dan negara.
Kerana itu, kita masih keliru dalam banyak perkara
berkaitan kemanusiaan. Lihat sahaja penggiat seni yang
masuk dunia korporat. Mereka akhirnya tidak peduli akan
perjuangan asal. Akhirnya kesenian dipandang sepi.
Kembali kepada ruang persembahan. Ruang
persembahan akan menjadi lebih baik sekiranya ada satu
lokasi strategik. Saya setuju. Saya lihat banyak tempat
persembahan seperti Kakiseni SS2 tidak bertahan lama atas
faktor ini. Sukar untuk diakses. Kerana itu, saya melihat
trend pembukaan ruang ini sekarang biasanya dalam satu
ruang komersial yang pelbagai fungsi seperti Mall. PJLA
dalam Mall. Begitu juga DPAC dalam Mall. Ada juga ruang
persembahan alternatif yang sukar diakses. Tetapi masih
juga ada penonton sanggup ke sana. Pada saya ruang yang
mudah akses ini ialah satu nilai tambah kepada pengkarya
dan penonton. Maksudnya memudahkan kedua-dua pihak.
Sekiranya ada bantuan kewangan daripada birokrat atau
politikus berjiwa seni pastinya akan ada lebih banyak
pilihan yang kita ada. Dahulu, sebelum zaman teater indie
rancak, ruang persembahan teater begitu terhad. Saya
ambil positif penutupan Stor Teater DBP sebagai satu
pencetus untuk kemunculan pelbagai ruang persembahan
teater lain. Saya masih berpegang bahawa penonton dan
pengkarya perlu ditambah dahulu. Kerana kalau kita ada
banyak persembahan teater yang bagus, dan penonton
yang banyak. Persembahan yang dijalankan di tempat yang
sukar ditemui pun orang akan sanggup datang. Cuma saya
masih berharap akan bertambah ruang persembahan yang
15
mempunyai akustik yang bagus, kualiti pencahayaan pentas
asas dan ruang duduk bertingkat.
RIDHWAN
Menyebut tentang nikmat sembang di kedai kopi, lebih
berlarutan dan panjang ia akan jadi lebih baik manakala
untuk teater biasanya ia perlu habis dalam durasi tertentu.
Untuk compress nikmat dalam durasi yang panjang ini,
antaranya kita gunakan elemen cerita, supaya ada mula dan
akhir. Apa pendapat anda tentang cerita? Sebab teater yang
di-devised kadang-kala tiada kekuatan cerita. Karya-karya
yang tidak berasaskan teks juga cenderung elak untuk
bercerita, ia guna cara lain untuk pegang tumpuan audien.
Ketiadaan teks dan cerita ini akan menghilangkan posisi
playwright. Pengarah/deviser akan olah terus karya
bersama para aktor. Ada komen tentang ini?
WALID
Berbicara tentang durasi teater, teater tradisional dijalankan
dalam durasi yang amat panjang. Malah lebih daripada
lima jam. Di sini saya melihat teater tradisional yang asli
lebih seperti satu saluran televisyen. Akan berterusan
sehinggalah sekian-sekian masa. Boleh difahami logik itu
kerana dahulu tiada televisyen untuk semua duduk di
rumah. Jadi mereka perlu keluar untuk melihat
persembahan teater. Itu pun mereka akan meninggalkan
sementara teater tersebut. Sama seperti menutup TV untuk
sementara. Jadi, nikmat kedai kopi itu saya rasa masih
relevan untuk menikmati teater. Namun begitu, ini kurang
praktikal untuk persembahan teater moden. Kerana banyak
pihak sudah ada banyak pilihan. Banyak juga komitmen
lain. Kita kembali kepada masa semasa. Durasi yang
praktikal untuk kebanyakan orang amat perlu kerana semua
pihak ada komitmen lain selain daripada hanya berteater.
Durasi teater tradisional yang terlalu panjang ini juga
telah menyebabkan kumpulan teater mula menetapkan
durasi. Mereka tahu tidak semua akan bertahan menonton
persembahan yang telalu lama. Teater tradisional lebih
kepada improvisasi tetapi mereka ada jalan cerita atau idea.
16
Kadang-kadang ada kumpulan yang terlalu seronok
sehingga mereka menyebabkan durasi persembahan terlalu
lama. Dalam dunia moden, durasi yang bersesuaian untuk
semua pihak itu penting. Sebab kembali semula kepada
nikmat itu tadi. Tidak boleh terlalu lama sehingga kita rasa
penat dan bosan.
Teater berasaskan skrip lebih baik untuk semua.
Kumpulan teater akan lebih fokus kepada pengarahan dan
aspek lain dalam persembahan. Ternyata ia lebih mudah.
Hanya perlu cari penulis yang bagus. Penulis bagus di sini
ialah penulis yang boleh menulis naskhah teater. Kadangkadang
ada juga penulis skrip filem atau penulis buku sukar
untuk menulis naskhah teater yang baik. Ini juga praktikal
untuk semua. Saya lebih suka bekerja dengan adanya skrip
berbanding membuat devised. Komitmen devised ialah
satu perkara yang perlu diambil kira. Untuk menghasilkan
devised, ahli kumpulan juga perlu hebat. Mereka juga perlu
tahu pelbagai teknik dalam membuat persembahan.
Mereka juga perlu serba boleh. Pengetahuan am juga perlu
tinggi. Risiko devised ialah sama ada persembahan
tersebut teruk atau bagus. Berbeza dengan persembahan
yang berpegang kepada naskhah berkualiti. Pelbagai aspek
boleh menyelamatkan persembahan teater berasas skrip.
Asas persembahan yang bagus ialah boleh diikuti
dan dinikmati. Dalam hal ini, ‘naskhah’ juga perlu wujud
dalam devised. Sekiranya tidak, devised hanya akan
menjadi terlalu informatif atau terlalu eksperimental. Ini
tidak bagus. Biasanya dalam kumpulan devised, akan ada
seorang ahli yang akan mengawal ‘cerita’. Saya banyak
melihat percubaan devised di Malaysia. Ada yang berjaya.
Ada yang hanya dibuat sesuka hati tanpa memahami apa
itu persembahan yang bagus. Keadaan devised yang gagal
ini sama seperti kumpulan pelajar yang menggunakan
lexicon atau teori-teori persembahan tanpa memahami.
Alienasi misalnya diguna sesuka hati sebagai alasan
sekiranya dikritik rasa tidak sampai.
Komitmen devised lebih tinggi dan biasanya dibuat
dalam tempoh masa yang panjang. Rakan saya, Karen
Christopher akan membuat banyak sesi persembahan
17
percubaan sehingga dia berpuas hati. Pernah terlibat
dengan Karen dan proses berjalan dari pagi sehingga
malam. Keseronokan membuat devised lebih tinggi pada
saya berbanding membuat teater berasaskan skrip.
Mungkin kerana sesi mencari idea itu seperti rasa
melakukan persembahan banyak kali. Proses eksplore
kemudian persembahan kemudian kritikan dan proses ini
berterusan sehingga semua berpuas hati. Devised juga
lebih demokrasi dan ekspresif berbanding teater
berasaskan skrip. Proses devised mungkin lebih dekat
dengan seni pertunjukan (seni performans/performance
art). Kolaborator akan sama-sama mencari idea dan
‘naskhah” akan terhasil daripada proses pencarian idea dan
pelbagai teknik mencari idea yang panjang ini tadi.
Shakespeare juga ditulis secara devised. Saya pernah
membaca manuskrip Shakespeare asal. Di situ ditulis
semua kolaborator yang terlibat. Kerana itu, bahasa
Shakespeare seolah-olah satu cue dalam persembahan.
Keluar masuk semua orang ditentukan oleh arahan pentas
yang dinyatakan oleh pelakon dalam naskhah. Pada saya
persembahan devised boleh jadi persembahan yang bagus
sekiranya dibuat dengan betul dan mempunyai ahli yang
terbuka dan demokrasi. Ia juga boleh jadi sangat teruk
sekiranya anda tidak tahu bagaimana proses mencari idea
dan hanya mengeluarkan idea klise.
Jadi, pada saya, teater berskrip ialah lebih mudah
kerana kita boleh fokus elemen lain dalam teater. Hanya
perlu cari naskhah yang bagus.
RIDHWAN
Dari segi makna, playwright juga ‘devise’ iaitu mencipta.
Cuma dalam konteks teater hari ini, bila ’devised work’
disebut, kita dapat gambaran bahawa proses ciptaan ini
dilakukan secara berkumpulan, terutama di antara
hubungan director, performer, aktor, kolaborator, etc... Oleh
kerana keramaian ini, devised work dianggap demokratik.
Playwriting tak dianggap demokratik kerana umumnya kita
nampak imej seorang playwright. Meski boleh saja
playwright itu apungkan skripnya, dan biar ia dikomen,
18
dikritik, disunting, ditulis juga oleh ramai orang, tetapi
apabila ia kembali ke tangan playwright untuk ambil
tanggungjawab terhadap skrip itu, ia kembali kepada satu
sosok individu—seorang pengarang.
Di sini saya lihat perkataan ‘demokratik’ tadi menjadi
problematik. Ini kerana demokrasi bermaksud kita menurut
kehendak majoriti. Kehendak majoriti ini tidak selari dengan
kualiti dan mutu. Bagaimana jika ahli-ahli kumpulan ini
sepakat untuk mengeluarkan idea klise seperti yang anda
katakan? Ia tetap amalkan demokrasi, cuma hasilnya sangat
teruk. Dalam proses penciptaan ini, adakah menjadi
‘demokratik’ masih penting?
Naskhah yang bagus boleh dipentaskan menjadi
sesuatu yang teruk. Bagaimana pula sebaliknya? Bolehkah
naskhah yang teruk dipentaskan menjadi sesuatu yang
bagus? Pernah tak anda mengalami situasi seperti ini?
WALID
Ya. Saya setuju sekiranya dikatakan demokrasi dalam
devised itu bermasalah. Namun begitu, ini format
penghasilan karya sebegini. Ini yang saya nyatakan
sebentar tadi. Devised boleh jadi bagus atau teruk. Jadi
saya lihat kumpulan yang mempunyai ahli kreatif dan tahu
mencipta persembahan yang baik itu boleh jadi satu
keutamaan kerana faktor demokratik itu tadi. Orang yang
berkolaborasi itu perlu hebat untuk menghasilkan karya
hebat. Sebab itu, devised yang baik sememangnya
bergantung kepada kumpulan. Kerana ia kolaboratif.
Berbanding teater berskrip; idea awal telah dikawal oleh
penulis cerita. Menjadi terlalu bebas tanpa pedoman juga
bermasalah kerana akhirnya hala tuju persembahan tidak
akan diketahui. Kebanyakan devised yang berjaya
diasaskan oleh satu kawalan idea yang berkesan dan
dipersetujui secara demokrasi. Tanpa kawalan ini, idea akan
terlalu berlegar-legar sehingga nampak celaru. Diulang,
teknik devised berkesan tidak pernah lari dari kawalan idea
yang berkesan dan juga ahli yang hebat.
Sehingga hari ini saya masih tidak berjaya
menjayakan naskhah teruk di atas pentas. MALAYSIA KE
19
PIALA DUNIA ialah naskhah saya yang paling teruk. Saya
telah berbincang banyak kali dengan pengarah dan ahli
kumpulan untuk mencapai kehendak naskhah ini. Tetapi,
masih juga gagal. Kerana tulang belakang persembahan itu
tadi iaitu ‘naskhah’ sudah lemah. Waktu itu saya penulis
yang egois dengan karya. Saya anggap pengarah dan ahli
kumpulan tidak menghormati naskhah dan tidak cuba
memahami idea saya. Saya tidak suka karya saya diubah.
Tetapi saya lupa, teater yang bagus ialah hasil kerja semua
pihak.
Hanya satu sahaja solusi untuk masalah ini iaitu
mengambil idea yang lemah itu tadi dan mengubah
menjadikan ia lebih baik. Saya tidak anggap saya
menjayakan naskhah teruk kalau buat begini. Saya anggap
ini sebagai satu proses membuat naskhah baru berasaskan
naskhah teruk. Saya bagi contoh. Saya pernah terlibat
dalam satu persembahan. THE KITCHEN STORY tajuk dia.
Kami dapat satu skrip yang sangat teruk. Saya kata pada
penulis, skrip ini teruk tapi saya nak cuba juga. Apa kata kita
pakai idea ini dan kita semua cari apakah elemen-elemen
menarik dalam naskhah itu untuk dipersembahan. Saya
ambil masa untuk yakinkan penulis. Dan saya gunakan
hujah betapa teruknya MALAYSIA KE PIALA DUNIA kerana
egois penulis. Berjaya pujuk. Kita pakai juga skrip itu. Cuma
mengambil bahagian yang menarik untuk persembahan.
Kemudian kami tambah dengan pelbagai teknik membuat
persembahan. Saya faham perasaan penulis jadi, saya cuba
untuk bersikap adil dengan memberi ruang kepada penulis
dan dalam masa yang sama menambah baik naskhah
dengan idea persembahan yang baik secara kolektif.
RIDHWAN
Baik, ada bahan bacaan, muzik, filem atau apa-apa yang
ingin dikongsi? Atau ada naskhah yang anda rasa menarik
untuk lihat ia dalam bentuk teater atau performans di
Malaysia (tidak semestinya anda buat, boleh jadi cuma lihat
orang lain yang buat)?
WALID
20
Untuk karya muda tempatan, saya sangat suka KOTAK
HITAM (2011) oleh Fasyali Fadzly. Ini pada saya sesuai untuk
semua. Juga ada disiplin tinggi untuk dijaya dengan isu
yang besar iaitu sunyi. Kalau luar negara sekarang, saya
ada minat dengan karya Turki. Mereka agak berani kerana
mereka meletakkan diri mereka sebagai liberal dan
mengasingkan agama hanya sebagai agama. Keutamaan
mereka ialah perpaduan dan mengelak daripada terlalu
ekstrem dalam agama. Tania El Khoury ialah rujukan artist
yang saya gemar sekarang. Banyak karya Tania melangkau
daya fikir dan mempersoalkan perkara yang besar. Rasanya
lebih menarik daripada THE GAZA MONOLOGUES (2010).
Dalam hal ini, saya suka pendekatan THE GAZA
MONOLOGUES sebagai satu badan untuk membantu
pejuang Gaza dengan menggunakan seni persembahan.
Cumanya dari aspek penghasilan karya terlalu informatif
dan membawa isu yang telah banyak disampaikan. Berbeza
dengan Tania yang lebih fokus kepada isu alternatif dengan
pemikiran yang menarik. Apapun sekarang saya banyak
mengkaji karya Turki atas dasar ideologi masyarakat Turki
yang saya rasa boleh dikaji dari aspek performance.
LEMONS LEMONS LEMONS LEMONS LEMONS
(2015) ialah skrip teater yang saya rasa seronok dan
enjoyable. Boleh jadi rujukan yang sangat bagus THE
THEATRE AND ITS DOUBLE (1938) oleh Antonin Artaud
ialah buku yang akan membuatkan kita lebih sayang diri
sendiri dan kesenian Asia. CERTAIN FRAGMENTS (1999)
oleh Tim Etchells amat membuka minda. NASIB (1987) oleh
Hatta Azad Khan agak menarik. Ditulis dengan mudah dan
kurang mengeluh. SIKIT PUNYA GILA (1982) rasanya filem
yang perlu ditonton semua. Ini filem yang paling banyak
visual yang saya boleh ingat. ABANG ’92 (1992) amat
teaterikal dan sinematik pada masa yang sama. Tulisan
Azrin Fauzi menarik. Ada dunia dia. Usman Awang amat
puitis. Performer tempatan yang benar-benar saya rasa
mahu tengok ialah Azanin Ahmad. Saya cuma sempat
membaca dan mendengar tentang kehebatan dia dalam
seni persembahan. Saya tiada karya sendiri untuk
dicadangkan. Tiada yang memuaskan hati saya. Saya juga
21
lebih suka untuk memberi dan mengambil rujukan karyakarya
bagus dari pengkarya lain. Ini lebih membuka mata.
Bunyi macam mengarut. Saya rasa DRAGON BALL
(1984-1995) ialah satu karya yang bagus. Diambil dari
saduran legenda Raja Monyet dan seterusnya berkembang
dengan semakin matang. Juga jadi satu budaya popular
yang dibuat dengan baik. Ini kalau saya cakap tentang
penghasilan idea. Tulang Kata ada idea performance yang
saya gemar. Tetapi, penulisan dia kurang menarik perhatian
saya. BOTCHAN (1906) oleh Natsume Soseki ialah antara
penulisan yang buat saya seronok. Boleh dibaca. Suka cara
Soseki sampaikan absurdity. Rasa macam salah dan tidak
tersusun kemas karya dia. Mulanya rasa pelik tetapi makin
lama membaca, semakin suka hingga habis. Ini antara tajuk
dan nama dominan dalam fikiran yang saya rasa dan sesuai
dikaji.
RIDHWAN
Bagaimana dengan projek masa depan. Apa itu Projek
Spektrum?
WALID
Sekarang ini saya masih menjalankan kajian terhadap
topeng Melanau dan seni persembahan Melanau. Akan jadi
sangat sibuk dengan projek ini. Akan ada usaha untuk
menjadi satu persembahan kontemporari. Mungkin dalam
bentuk teater pendek dahulu.
Selain itu, sedang mengeluarkan teks dari HIKAYAT
RAJA BABI (1775) untuk dipentaskan di Kuala Lumpur.
Paling awal, tahun depan boleh pentaskan. Tetapi
bergantung kepada kepantasan saya mengeluarkan teks
klasik itu ke skrip teater. Sekarang masih lagi proses
memotong bahagian yang kurang menarik.
Saya perlu tangguh dulu penulisan novel baru saya.
Kerana sibuk ini.
Sebab sibuk itu tadi juga, saya sedang usaha untuk
cari 8 pengkarya baru untuk buat persembahan teater di
Kuching. Misi saya ialah menambah pengkarya muda. Dari
situ wujud idea Projek Spektrum. Umpama serakan
22
pelbagai warna daripada satu cahaya. Itu idea Spektrum.
Bukan sahaja untuk persembahan teater. Saya fikir boleh
jadi satu jenama untuk aktiviti seni lain seperti baca puisi,
tayangan filem dan sebagainya. Apapun, untuk permulaan
akan ada 4 pengarah daripada 8 pengarah muda Projek
Spektrum akan mengarah playlet. Ini dulu. Kerana saya
tengok masalah teater di Kuching ialah tiada pengkarya
baru yang aktif. Perlu tambah. Kuala Lumpur semakin
subur. Tahniah kepada kumpulan anak muda sana yang
tidak henti usaha.
23
3 Scanography
Nor Suhada
Bertajuk “P E N E G A S A N”
(convert to B&W).
’S’ untuk Scanography dan Simbol
24
25
26
27
Menjual Nilai
Dalam Penulisan
Regina Ibrahim
Sudah dijalankan sejak zaman berzaman. Namun apabila
dibangkitkan pada para penulis muda mereka jadi terkedu
atau ternganga sebentar. Nilai apa? Nilai di sini tidaklah
bermaksud hal-hal ringgit $$$$ atau harga, ia lebih
menjurus pada hal-hal moral, tata hidup dan budaya.
Pernah dengar pujian pada kerja kreatif kerana
mengandungi atau membawa nilai-nilai positif? Orang
tamak selalu rugi, jangan jadi seperti anjing dan bayangbayang.
Kisah-kisah asas tentang kesabaran dan usaha
keras yang membuahkan hasil. Kisah-kisah kebaikan yang
dibalas dengan kebaikan di akhir cerita.
Begitulah lebih kurang nilai murni umum yang cuba
kita sampaikan dalam penulisan, kalau diukur secara tradisi
(tradisi menulis cara lama dan tradisi hidup secara realita).
Di alaf baru kita masih lagi menjual nilai dalam
penulisan. Suka ataupun tidak, tanpa sedar kita akan tetap
menyelitkan anutan, kepercayaan dan nilai-nilai hidup yang
terbiasa. Dirangka dengan penuh kreatif, sambil disulam
dengan keinginan untuk dijadikan garis pandu oleh
pembaca selepas mereka menelaah hasil tulisan kita.
Dalam penerbitan-penerbitan mana sekalipun, kalau
dibaca dalam suasana teliti kamu akan melihat penulis
menjual nilai, melalui watak-watak fiksyen sekalipun. Di sini
letaknya bijaksana kita mempamerkan aspirasi kita, ada
ketikanya tidak secara langsung melalui watak-watak
28
pembantu atau watak protagonis. Nilai mudah dijual dalam
kita menangani keraguan watak utama, pembantu atau kita
wujudkan ketua yang berfalsafah tinggi (padahal itulah kita
penulis sebenarnya).
Pembaca tradisi masih wujud, watak antagonis harus
mati atau menerima musibah di hujung penceritaan.
Penulis akan diduga apabila memilih tajuk-tajuk cerita
meskipun berbentuk fiksyen. Ada penulis yang pura-pura
bodoh apabila mempertikaikan soal-soal yang kurang
digemarinya.
A p a b i l a m e m a s u k i h a l a m a n A G A M A d a n
KEPERCAYAAN, ramai penulis memilih jalan selamat
memberi tarbiah-tarbiah yang disukai ramai, mereka
seolah-olah mahukan sokongan pembaca. Hal ini jelas
sekali meskipun dalam fiksyen. Buku-buku rohani dan
motivasi apatah lagi. Ini antara jalan selamat yang dipilih
oleh penulis/perangka buku.
Jangan lupa, ada penerbit yang memang secara
spesifik mengatakan mereka tidak mahu mencetak
sebarang naskhah yang isinya tidak bermoral meskipun
naskhah fiksyen. Apa agaknya kayu ukur moral? Apakah
senarai hal-hal tidak bermoral tersebut?
1. Kisah cinta yang melibatkan kaum LGBTQ.
2. Pertelingkahan tentang agama yang menentang
ajaran agama majoriti negara.
3. Babak-babak seks atau mesra ghairah yang
terlampau. Seks hanya untuk yang sudah berkahwin
sah (meskipun fiksyen).
4. Isi-isi yang menentang polisi negara atau parti
pemerintah.
Penulis yang menulis merasa ada kekangan di sini.
Kerana nilai awal sudah ditetapkan oleh penerbit-penerbit
tersebut. Namun, sebagai insan kreatif, segala hal tersebut
tidak seharusnya menjadi hadangan buat kamu. Kamu akan
tetap menjual nilai dalam penceritaan. Baik atau buruk itu
terpulang pada bijaksana dan perhitungan kamu.
29
Saya tidak mahu memberi panduan. Mana ada
panduan untuk hal-hal subjektif seperti ini. Namun,
penjualan nilai kamu itu haruslah berbunyi bijak dan tidak
jengkel tentunya. Saluran-saluran dari konflik cerita, dialog
watak-watak atau gambaran situasi boleh membawa
bersama nilai-nilai tersebut untuk mewakili rasa tidak puas
hati kamu (tidak dilakukan secara terang-terangan sebagai
kenyataan dari penulis).
“Buku ini tidak bermoral. Terlalu banyak adegan yang
ganas dan seksual,” kata pembaca yang sudah teracu lama
dengan naskhah-naskhah tradisi yang selamat selama ini.
Kenyataan ini tidak akan membantutkan kamu untuk
menjadi tukang cerita yang baik. Kamu manusia kreatif
yang mampu menangani apa sahaja. Pemilihan kata dan
terma kamu bagaimana? Cara sisipan kamu pada
penceritaan harus dilakukan dengan penuh hati-hati dan
kreatif. Begitu juga apabila kamu mahu masuk ke dalam
ruang Gender, Identiti Jantina, Ekspresi manusia yang
berlapis-lapis dan Seksualiti, ia harus dilakukan dengan
penuh tanggungjawab. A. Samad Ismail, Pak Sako,
Shahnon Ahmad sudah memasuki daerah ini dalam
penceritaan dengan penuh tanggungjawab. Ada waktunya
dilakukan dalam bentuk yang disalurkan dari watak-watak
sampingan yang berbunyi lucu.
Kegemaran masa kini adalah melibatkan watak
PONDAN dalam penceritaan. Kamu harus tahu secara luas
bagaimana agaknya susunatur terma-terma baharu
mereka? Rasa hati mereka? Gerak langkah mereka. Silap
besar kalau meneliti dan mendapat informasi dari
cisgender untuk watak-watak sebegini. Ramai terutamanya
sejak tahun 2000 menyelitkan watak-watak lesbian, gay dan
mak nyah dalam penceritaan sebagai pewarna cerita.
Sayangnya banyak yang sipi-sipi, berkeinginan bersyurga
neraka, menginsofkan watak cepat-cepat dan akhirnya
berbunyi pelik. Apatah lagi kalau pembaca kamu adalah
para LGBT.
Begitu juga watak-watak yang mengalami sakit-sakit
kronik seperti OCD, Bi-polar, ADD atau Depressi. Harus
30
ingat jangan sampai kamu tidak sensitif pada penerangan
penting. Wujudkan keseimbangan.
Cuba kamu baca buku cinta yang ditulis oleh penulis
lelaki dan wanita, berbeza sekali cara mereka menilai
perasaan. Hal yang ini kamu cari selidiki sendiri, saya
sebagai penulis fiksyen tidaklah manis untuk digariskan
mana yang bagus mana yang tidak. Buku-buku yang baik
selalunya menjual NILAI dengan cara yang seimbang.
Bunyi-bunyi penetapan tidak datang dari penulis, tetapi
hanyalah melalui watak yang kemudiannya dinilai oleh
pembaca.
e.g: “Depa bapok memang macam tu, malam kau
tengok macam bidadari, cuba kalau terserempak siangsiang,
lari kau nanti Mat,” jelas Pak Manan yang seolah-olah
mempunyai pengalaman dengan manusia lembut di waktu
malam.
“Benda ni macam nilah Mat, kalau menteri pun
penuh korupsi, orang-orang bawah kau fikirlah sendiri…,”
ujar Pak Ngah Sudin pada Mat Sabu yang sedang
berkempen di kedai kopi Awang Had.
“Orang jantan apa dorang fikir Nab? Kubur tanah
masih merah pun dia mampu menikah lagi, aku ni bukan
nak katalah... aku dah tengok semua, perangai macam
musibat kaum jantan,“ rengus Mak Lang Diah pada Zainab
yang masih sedih pada perkahwinan baru suaminya di
selatan Thailand.
“Honey lemme tell you something, aku lawa ke tidak
tak jadi masalah, kau tahu kan jantan-jantan kat sini, kalau
kambing pakai skirt pun mereka toron!” lancar kata-kata
Zahira pada kawan-kawannya sewaktu teh tarik di gerai Pak
Abu, sengaja dikuat-kuatkan suaranya biar perempuan di
meja sebelah mengerti. Perempuan baginya tidak boleh
diberi muka, tengok Mak Nyah gelak-gelak, mereka tidak
tahu suami mereka lepas kerja merayap, cari siapa?
“Saya ni, tidaklah sealim mana, jauh di sudut hati
saya percaya semua agama itu ajarannya baik-baik belaka
abang Othman, janganlah dihina sangat agama percaya
orang,” hari ini Salmah jadi berani berkata-kata pada
31
sepupunya yang bermulut jelabas menghina teman
temannya.
“Dalam hidup ini, kita sebenarnya menyusuri jalan
yang penuh dengan ketidakpastian, asalkan hal-hal yang
baik, kita teruskanlah sahaja, orang akan tetap menilai,
pelan-pelanlah,” pesanku pada Karim yang masih buntu
dalam pencarian hidup.
Demi kesedapan bercerita kita wenang-wenang
menetapkan syariat-syariat kabur dosa dan pahala (yang
kita sendiri tidak tahu, kabur, cuma ada acuan sewaktu
membesar). Paling favurit adalah perumpamaan Nabi Luth
dalam banyak karya Melayu, bandingan pada kaum etnik
Batak, Jakun, Senoi, Semang untuk kesan jenaka. Luahan
bagaikan menghina juga ada untuk mereka yang tidak
benasib baik seperti Bangla, Rohingya atau kata gelar
INDON. Sampai terlupa bahawa penulisan itu mewakili kita
sebagai penulis. Ada yang tanpa sedar dan ada yang penuh
kesedaran kerana dia memang begitu. Rasa hatilah katakan,
tak gitu?
Tahun ini sewaktu menjadi panel penilai untuk
terbitan sebuah syarikat penerbitan kami sebulat suara
menyingkirkan beberapa naskhah, komik, manuskrip,
antoloji yang sah-sah menjual nilai dalam hasil karya
mereka. Penentuan SYURGA DAN NERAKA itu tidak ada di
tangan kita. Tugas kita bukanlah menghasut pembaca pada
satu arah yang kita percaya sahaja. Persoalan salah benar
boleh kamu wujudkan, dalam konflik-konflik watak yang
ada. Apa kamu fikir menamatkan naskhah dengan
membiarkan watak utama itu tidak membuat keputusan
sebagai sesuatu hasil karya yang lemah? NO. TIDAK. Malah
bagi saya itu langkah yang bijak, kerana pembaca akan
mampu berfikir dan memilih langkah mereka…
SELAMAT MENILAI apa isi kandung cerita kamu...
PUSHING VALUE IS NOT YOUR TASK, BUT YOU CAN IF YOU
WANT TO. IT DEPENDS SOLELY ON YOUR WISDOM AND
DESIRE!
32
Hitherto
Azrin Fauzi
(Detik-detik Hitam dengan
Menara Jam di Lebuh Light)
00:01 Dari mata yang merangkak: Seekor gagak
sesat dari seberang yang menumpang
tenggek di atas feri siang tadi tidak
ketahuan, tersalah hinggap di bahu seorang
exco kerajaan negeri lantas mematuk
kepalanya; dari dalam retak itu, mengalir
mimpi yang paling gelap.
23:59 Dari mata yang mengepak: Seekor anjing
menggilap sepasang kasut kulit kolonial
dengan lidahnya. Sepasang kasut pun
mengekori kaki telanjang seorang budak
yang enggan dewasa. Sepasang kaki budak
mengerekot masuk ke dalam bayang
langkah ibunya di luar kubu—membusuk.
00:00 Malam makin menghirup masin laut dan
hanya dua orang yang kukenali mampu
menelan kalut: aku-masadepan dan akumasalalu.
Siapa dahulu yang tewas digulung
maut?
33
Sebarang maklumbalas boleh hubungi:
litzin.kerjatangan@gmail.com
Teks & foto setiap karya © kontributor/penulis
Co-editor dan susunan: Nurul Aizam
Desain, co-editor & ilustrasi oleh
Ridhwan Saidi © 2018
Dicetak dan dijilid di Malaysia
oleh Rorschach Ink.
36