17.12.2019 Views

kerja tangan B

litzin kerja tangan isu B buatan Malaysia mokamochaink.com

litzin kerja tangan isu B
buatan Malaysia
mokamochaink.com

SHOW MORE
SHOW LESS

You also want an ePaper? Increase the reach of your titles

YUMPU automatically turns print PDFs into web optimized ePapers that Google loves.



kerja tangan

B

Rorschach Ink


Kerja Tangan adalah ruang katalis di mana penulis-penulis dapat

menerbitkan penulisan mereka hasil editorial rakus dalam format

ringkas tidak melebihi 600 patah perkataan meski ada juga yang

melebihi had tersebut tetapi dengan syarat utama iaitu ia mesti

bagus atau paling kurang: luarbiasa. Rata-rata teks di dalam litzin

ini samada ia diterbitkan penuh dengan suntingan atau bagi

sebilangan teks yang belum cukup bagus, saya akan pilih

bahagian terbaik (boleh jadi dalam bentuk perenggan, stanza atau

baris ayat) dan cuba bikin teks tersebut agar ia boleh werk

bersendirian tanpa bantuan klise lain.

Kontributor dialu-alukan (esei, cerpen, puisi etsetera) dan litzin ini

selain diterbitkan secara berkala dan gratis via laman sosial

digital, ia juga diterbit dan dijual dalam bentuk cetakan fizikal

dalam usaha untuk menampung kerja-kerja editorial dan

kelangsungan litzin ini.

– Ridhwan Saidi

Maklum balas dan karya boleh diemel ke:

litzin.kerjatangan@gmail.com


kandungan

Interviu Saat Omar

oleh Ridhwan Saidi

M

oleh Anis Zakaria

Jangan Jeles, Kuku Aku Cantik!

oleh Ashroff Nor Said

Superhero

oleh Zain Qasyira

Flat

oleh mucky

Teater Muzium

oleh Fasyali Fadzly

Panik di Pusat Undi

oleh Ridhwan Saidi



I n t e r v i u

Saat Omar

Ridhwan Saidi

Kelibat Saat Omar pertama kali saya nampak

semasa mengaji di UiTM Puncak Perdana di

waktu tengahari semasa kami sedang tunggu

pensyarah. Saat Omar tiba dengan motosikal cup

lalu masuk ke pejabatnya. Waktu itu kebanyakan

kelas teater berada di hujung sana, manakala

kami di kelas penulisan dan filem berada di

kawasan tengah. Kami akan mula kenal dan

bercakap barangkali dalam dua tiga tahun

selepas itu.

Saya memiliki satu catan akrilik kecil

pemberian Saat Omar di Arts For Grabs, Annexe

Central Market dan selepas itu turut beli lagi dua

kerja catannya. Yang satu ini paling besar dan

berwarna kebiruan—diberi nama oleh Saat

sendiri waktu itu yang kebetulan novel saya

Babyrina terbit—diberi judul Baby Rina Blue. Satu

lagi catan besar saya beli selepas mendapati

rupanya kami tinggal berjiran di Saujana Utama,

terlalu dekat kalau jalan kaki dalam 5 minit

sampai. Saya telah melawat studionya dan beli

7


sebuah catan yang mengingatkan saya kepada

lukisan gua.

Selain menulis dan mengarah teater, melukis

dan mengecat, Saat turut prolifik menulis

a n t a r a n y a l i m a b u a h n o v e l d a n t u r u t

menghasilkan terbitan d.i.y. kumpulan cerpen dan

puisi. Berikut merupakan transkripsi interviu kami

via emel pada 16 Ogos 2016:

RIDHWAN

Macam mana boleh mula menulis? ada memori paling kuat,

waktu kecil atau sekolah misalnya tentang penulisan?

SAAT

Mula minat menulis bila bapa bagi hadiah diari. 1989

rasanya. Diari tu saya tulis hari hari, kebanyakannya

tentang seorang gadis bernama N. Sebelum tu tak pernah

menulis. Cikgu BM kenal nama pun sebab saya segelintir

pelajar Melayu di sekolah tu.

Masa form 2 rasanya surat saya ke majalah Media

Hiburan keluar. Surat pendek bertajuk ‘Kera di hutan

disusukan’ yang dah diubah oleh editor, tentang artis

Indonesia yang lebih diutamakan dari artis tempatan. Ketika

di sekolah rendah saya lebih menyimpan cita-cita sebagai

pelukis komik.

RIDHWAN

‘Segelintir pelajar Melayu di sekolah’, bermakna waktu tu

ramai pelajar bukan Melayu? Apa yang buat anda tertarik

dengan komik? Ada komik spesifik waktu tu?

SAAT

Saya bersekolah di S.R.K. Horley Methodist Teluk Intan. Tak

ramai sangat Melayu semasa batch saya.

8


Ada dua bahan bacaan utama masa kecil; Gila-Gila

dan Variasari. Dari Variasari saya membaca Bercakap

Dengan Jin, yang juga mungkin buku terawal yg saya baca.

Dari Gila-Gila, pelukis yg paling saya suka ialah Don.

Di pertengahan 80an saya paling suka membaca cerpencerpennya

yang lucu dan di luar jangkaan. Di tahun 80an

saya rasa sumber paling kreatif negara lahir dari komik dan

bukannya filem.

Masa darjah 4 pernah pergi rombongan sekolah ke

Creative Enterprise. Pernah juga minta ayah belikan pen

untuk melukis kartun. Dan bila dah dibeli saya tak tahu pula

nak melukis apa.

RIDHWAN

Adakah pen itu digunakan untuk menulis?

Bagaimana boleh mula tulis novel Rahsia Malam

Merdeka? Dan boleh juga kongsi proses Amanah Terakhir,

Seronok, Santet & Rebel.

SAAT

Pen tu tak digunakan untuk menulis.

Rahsia Malam Merdeka ditulis untuk pertandingan.

Manuskrip novel kedua yang saya tulis. Dan semuanya

mengikut formula yang saya rasa mampu untuk menang

dalam pertandingan penulisan novel tempatan—ia perlu

berdasarkan fakta dan real event, serta perlu ada elemenelemen

akademik. Jadi saya study kisah Tunku Abdul

Rahman dan selitkan dalam penceritaan. Rahsia Malam

Merdeka ditulis menggunakan PC pejabat dan disimpan di

dalam disket.

Amanah Terakhir sebenarnya manuskrip novel

pertama yang saya tulis, juga untuk pertandingan DBP 50

tahun. Tapi tak menang. Jadi saya hantar manuskrip ini

untuk bengkel perolehan manuskrip anjuran DBP. Situ saya

mula kenal Fadli al-Akiti dan beberapa orang penulis lain. Ia

mungkin novel paling personal saya pernah tulis—satu

penghargaan kepada kampung nenek di Permatang

Pelanduk, Kg Gajah.

9


Seronok adalah cubaan kedua saya untuk terbit di

bawah FIXI, walau pada asalnya ia tidak dicadangkan untuk

mana-mana penerbit. Idea asalnya untuk Seronok ialah

persoalan antara suami isteri—‘Adakah seseorang itu akan

meneruskan ikatan perkhawinan jika akhirnya pasangannya

merasakan yang mereka bukanlah pasangan yang sesuai

setelah melangsungkan perkahwinan.’ Seronok bukanlah

sebuah novel LGBT, walaupun itu asas jalan ceritanya. Saya

mengambil idea yang lebih besar iaitu hubungan cinta

antara pelbagai genre.

Santet ditulis sebagai tribute untuk genre kegemaran,

Indonesia horror hujung 70an dan awal 80an seperti

Penangkal Ilmu Teluh dan Dukun Lintah. Kedua-dua buku

untuk FIXI ini boleh diletak di bawah label: komedi atau

black comedy.

Rebel ditulis berdasarkan keinginan yang tak tercapai;

antaranya berkelana di negeri Amerika, terutamanya New

York, juga rindu pada relationship yang saya tak pernah

dapat. Tajuknya sudah tentulah, satu penghargaan kepada

Albert Camus, penulis yang merangsang saya untuk jadi

penulis.

RIDHWAN

Selain menulis anda juga giat dengan lukisan catan dan

pementasan teater. Apa pula yang buat catan dan teater ini

menarik, jika mahu dibandingkan dengan penulisan?

SAAT

Melukis dan menulis ada konsep yang menarik dan sesuai

dengan saya kerana ia bersifat individual. Teater lebih sukar

kerana kita perlu bekerja dengan orang, terutama

mengarah. Dalam teater pun saya sebenarnya lebih suka

menulis daripada mengarah kerana saya memang ada

masalah untuk bekerja dengan orang. Kalau seseorang itu

suka bergaul, dia akan suka dengan teater, kalau tak, sukar.

Teater mungkin lebih dekat dengan penulisan puisi,

kerana akhirnya orang lain yang akan interpret penulisan

anda dengan bacaan puisi dan juga lakonan atas pentas.

10


Tetapi selalunya ia tak seperti yang penulis harapkan,

terutama pementasan teater.

Dari segi pendidikan saya belajar fine art sebenarnya.

Dalam bidang penulisan saya tiada pendidikan yang formal.

Dalam penulisan saya masih percaya pada struktur, tapi

pada catan, semua tu saya boleh langgar. Avant garde

sudah lama diterima seniman dan penggemar seni, tetapi

penulisan tidak. Dan kalau nak kaya dan banyak duit,

melukis bukan menulis, walaupun lukisan saya tak pernah

terjual ribuan ringgit.

Mana yang lebih seronok dan memberi kepuasan?

Kata Pak Agi melukis sebenarnya lebih memberi kepuasan

kepada dia. Bagi saya, saya lebih suka menulis. Bak kata

seseorang, pelukis boleh menggantung lukisannya, tetapi

penulis hanya boleh menggantung dirinya sendiri.

Tapi sebenarnya sejak kecil saya bercita-cita untuk

menjadi pengarah filem. Saya bagitahu semua kawankawan

yang saya nak jadi director bila saya besar nanti.

RIDHWAN

Baik, kembali kepada konteks negara kita, apa pendapat

anda tentang Malaysia?

SAAT

Saya ada seorang kawan, seorang professor bernama Ches

Skinner. Dia kata dia suka Malaysia. Saya rasa pelik juga tu.

Bila ditanya lagi apa yang dia suka tentang Malaysia, dia

cakap dia suka orang-orangnya. Bila saya ingat tentang

Malaysia, saya teringat tentang orang-orang yang tinggal di

sana. Orang-orangnya yang membuatkan Malaysia sebuah

negara yang kita suka. Buang orang-orangnya, kita takde

apa sangat. Ya betul, orang Malaysia baik-baik orangnya.

Saya ada banyak cerita tentang betapa prihatinnya orang

Malaysia, terutama penunggang motosikal cup yang sedia

menolong bila kita dalam kesusahan. Tapi banyak juga

unsur-unsur negatif di negara ini—memotong pokok dan

dahan di tepi jalan dengan sesuka hati misalannya. Itu yang

paling saya tak suka dengan pihak-pihak berkuasa di negara

ini.

11


Saya suka Amcorp Mall. Dan saya bernasib baik

kerana Amcorp Mall terletak di Malaysia. Jadi saya tak perlu

nak ke Indonesia atau Thailand untuk ke Amcorp Mall setiap

hujung minggu.

Malaysia boleh pergi jauh. Kita banyak duit. Tapi kita

habiskan duit dengan benda-benda tak perlu. Suatu hari

nanti kita akan kembali hidup dalam gua. Kita kena

bersedia dengan itu semua.

Seniman Malaysia tak perlu risau tentang originaliti.

Yang penting kita boleh terus hidup dan sedut apa yang

ada.

Malaysia sebuah negara yang panas. Saya harap

suatu hari nanti salji boleh turun. Bila itu berlaku, saya akan

lebih suka dengan negara ini.

12


M

Anis Zakaria

Sial. Rungut Ali sewaktu diminta oleh bosnya, editor

majalah Mangga untuk cover aktiviti demonstrasi di

hadapan Sogo sedangkan waktu itu dia tengah sibuk

menulis laporan tentang serangan Mahathir ke atas Najib.

Setibanya Ali di sana, para aktivis huruf konsonan tengah

asyik berhimpun dan melaungkan slogan-slogan mereka

sambil diketuai Encik M dari Parti Buruh.

“Asalkan Bukan Vokal!”

“ Hidup! Hidup! Hidup Konsonan!”

“Vokal Bukan Sekadar Rupa!”

Para pejalan kaki di sana seperti O dan U mencebik

muka. Tanda terganggu dengan slogan tersebut. Kumpulan

huruf-huruf konsonan ini meminta hak kebebasan untuk

berekspresi selain menuntut kerajaan meneliti kes

pengangguran di kalangan belia konsonan yang semakin

meningkat. Yang paling teruk – huruf Q, X, Y dan R.

13


Ali ketik kamera Olympus. Beberapa keping gambar

diambil. Selang beberapa minit kemudian, belum pun

sempat Ali mencatat sesuatu di moleskin-nya, beberapa das

tembakan kedengaran di ruang udara.

Sedas! Dua das! Devdas!

Ali cepat-cepat sembunyi di balik kereta. Huruf-huruf

konsonan bertempiran lari. Dari kejauhan, Ali nampak Encik

M tertiarap di atas aspal. Cairan merah meleleh keluar

daripada lubang di tengah kepalanya.

***

Esoknya, di dada akhbar terpampang tajuk berita utama

“Ahathir kritik Najib”.

14


Jangan Jeles,

Kuku Aku Cantik!

Ashroff Nor Said

Nenek aku kata, kuku adalah tempat

perlindungan syaitan. Jadi aku ke

kereta. Aku pasang paip pada ekzos

menghala ke dalam. Aku hidupkan

enjin. Aku sedut nafas dalam-dalam.

Penuh di dalam kereta asap

hitam. Ini kereta orang lain. Bukan

kereta aku. Dan aku mati bukan

kerana orang lain. Aku mati kerana

kuku aku.

15


Superhero

Zain Qasyira

Berlatar belakangkan bandar pasca-apokalips, suasana di

sekeliling sepi sekali. Bacaan radiasi menunjukkan paras

sangat tinggi kerana itu bandar ini dilabel sebagai zon

merah—kawasan larangan berbahaya.

Tidak semena-mena, seorang lelaki kelihatan berlari

pantas melompat dari satu ke satu bumbung bangunan.

Kita terpinga-pinga, dengan perasaan ingin tahu membuak

kita mendekati lelaki yang tidak dikenali itu.

Lagaknya seperti seorang superhero, berpakaian

hitam fit dengan topeng muka. Kita zoom sedikit untuk

lebih mendekati watak lelaki ini, yang sedang duduk

beristirehat di salah satu bumbung bangunan.

Salah seorang antara kita ingin bertanya asal usul

lelaki itu namun pastinya sia-sia kerana lelaki itu bukan

dalam dunia yang kita berada sekarang. Maka, dia

membatalkan sahaja hasratnya. Tetapi lelaki itu seolah

dapat menduga, membaca persoalan yang ingin

dilontarkan salah seorang dari kita. Lelaki itu segera

menjawab, bercerita panjang lebar tentang asal usulnya,

keadaan di negaranya, menteri perompaknya dan bla bla

bla hingga menyingkap kain jiran tetangganya juga.

Kita sebagai penonton sudah pasti tidak mahu

mendengar celoteh dan bebelan panjang maka salah

seorang dari kita pantas menekan punat ‘fast-forward’ pada

alat kawalan jauh. Kita membiarkan saja lelaki itu berleter

meleret secara luar biasa laju seperti kartun.

16


Tiba di suatu babak, punat ‘play’ ditekan, segera

muncul pula raksasa yang menggerunkan cuba menyerang

watak lelaki itu. Perutnya loyot, menggelebeh seolah-olah

dipenuhi air, atau mungkin sememangnya air. Seperti yang

t e l a h d i d u g a , s e d i k i t k l i s e , l e l a k i i t u p a n t a s

mempertahankan diri dan membalas setiap serangan

raksasa itu. Kita terpegun sambil makan popkon, khusyuk

menyaksikan aksi hebat ini.

“Kan ibu dah kata tutup tivi maghrib-maghrib ni!”

Kita terkesima. Segera kita menoleh ke arah suara

‘ibu’ dan apa yang kita dapati sangat mengejutkan!

“Itu raksasa dalam tivi tadi!” salah seorang dari kita

spontan berteriak.

Raksasa itu, bukanlah seperti watak biasa dalam

televisyen yang sangat kaku dan membosankan. Raksasa

ini menyerupai manusia namun berwajah menggerunkan—

seperti hantu.

Kita kalut, ketakutan. Hendak lari, kita terperangkap di

bilik berkunci, tanpa tingkap mahupun jeriji. Satu-satunya

pintu yang ada tertutup rapat disendal palang dari luar. Kita

menjerit-jerit, menangis dan berpelukan sesama kita

sebelum seorang demi seorang daripada kita diratah—

kepala, kaki dan tangan dicabut satu per satu.

Antara kita, orang terakhir sekali akan mati adalah

dia, yang sempat menjeling ke arah televisyen dan melihat

—lelaki lagak seperti superhero itu sedang duduk asyik

memerhati kita sambil makan popkon.

17


Flat

mucky

“Berapa kali aku nak cakap, bumi tak flat.

Yang flat tu rumah kau!”

– jenaka Falsafahaha

Flat, atau bahasa manisnya pangsapuri, ialah sebuah

penempatan habitat manusia secara vertikal yang

mempunyai dari tiga atau empat tingkat hingga berbelas

tingkat. Contoh penempatan high-rise pertama secara

vertikal ini ialah Suleiman Courts di sekitar Jalan Tunku

Abdul Rahman (dulunya dikenali sebagai Batu Road) pada

tahun 1957 yang telah dirobohkan pada 1986 untuk

pembangunan Sogo.

Sedikit pengenalan bagi flat itu cukup menarik untuk

kita mengenang penempatan yang dirobohkan untuk

sebuah kompleks membeli-belah yang menawarkan

diskaun hampir setiap hari. Saya ingat saya sempat melihat

kelibat Suleiman Courts ini di dalam cerita Mat Som di

PKAF dulu. Saya cukup tertarik dengan rekabentuknya yang

cukup moden pada masa itu. Beranda yang berbentuk

segitiga dan berselang-seli membentuk sebuah facade yang

menarik, langsung lari dari permukaan flat kini yang ratarata

berbentuk seakan sebuah blok segiempat yang ditebuk

secara rawak. Kini, penggunaan ‘mock up formwork’

menyeri segenap sudut vertikal ini dengan mengadakan

form yang tidak perlu dan ia seakan cubaan acah-acah

untuk memberikan stail yang berlainan bagi setiap

bangunan.

18


Waktu kecil dulu, keluarga saya kerap kali ke Kuala

Lumpur dan melawat saudara-mara yang berhijrah ke sana.

Ingatan saya yang paling kuat tentang flat ialah flat ibu

saudara saya di Bukit Idaman, Selayang. Ia energetik,

harmoni dan lapang pada saya ketika itu. Seolah sebuah

penempatan yang tersusun bagus, dengan tempat letak

kereta yang dijaga secara tidak langsung oleh penduduk

sekitarnya. Pada dasarnya, terdapat empat blok yang

mengelilingi tempat letak kereta ini dengan sebatang jalan

keluar dan masuk ke ‘negeri’ flat ini dan sebatang jalan

susur ke bahagian lembah bawah yang menempatkan

empat lagi blok flat yang sama jenis dengan flat di atas. Di

antara transisi ‘daerah’ atas dan bawah ini terdapat sebuah

taman permainan yang kini sudah lusuh dek teknologi yang

memerangkap anak kecil untuk bermain di dalam minda

mereka sahaja. Tidak, itu bukanlah imaginasi. Itu adalah

‘motor skill’ yang saya kira agak ‘imba 1’ berbanding

imaginasi anak kecil itu sendiri. Namun, tidak perlu untuk

kita bercakap tentang seorang anak kecil yang tidak ke

taman permainan pada waktu petang.

Sepanjang membesar di Kuala Terengganu, satu

persatu penempatan vertikal ini dibina. Terdapat juga flat

yang berada di tengah bandar Kuala Terengganu yang telah

dibina lama dahulu waktu awal 80an. Malah hingga kini, di

serata dunia, flat dibina atas dasar alternatif kepada

penempatan yang dihampar di atas tanah dengan kesan

penggunaan ruang yang banyak. Berbeza dengan rumah

Melayu dahulu, keberadaan tanah yang luas membolehkan

tuan rumah mengusahakan tanah lapang mereka dari aspek

keindahan (pokok bunga), keselesaan (pokok untuk

berteduh yang mempunyai gerai di bawahnya) dan

kegunaan (pokok serai, cili dan sebagainya.) Jika dilihat

pada masa kini, flat juga masih relevan untuk gaya hidup

1 Imba ialah satu ringkasan dari ayat ‘imbalanced’. Dari konteks permainan

video, ianya adalah sesuatu yang terlalu bagus untuk sesebuah ciri pada

sesebuah watak dan menjadikan permainan video itu seakan tidak adil.

Dari konteks esei ini, penulis ingin menekankan motor skills bagi

kebanyakan anak kecil pada masa ini tidak seimbang dan melebihi

imaginasi mereka sendiri.

19


yang tidak memerlukan pokok untuk ketiga-tiga aspek ini.

Saya percaya bahawa ketiadaan aspek-aspek ini diganti

dengan pengenalan kepada ‘external sources’ yakni;

i) Keindahan – lanskap sesuatu ‘negeri’ flat

yang disusun secara rambang yang

tersusun

ii) Keselesaan – terdapat juga wakaf yang

ditempatkan, mungkin ia kebetulan tetapi

jika ia adalah dari kiraan perletakan wakaf

itu sendiri saya tabik hormat, di tempattempat

yang berlanskap dan mempunyai

flow angin yang baik

iii) Kegunaan – kewujudan mini market di

dalam ‘negeri’ sesebuah flat menjanjikan

cili dan serai tidak akan putus bekalannya

Berbalik kepada flat ibu saudara saya di Selayang,

setelah berbelas tahun lamanya, saya masih singgah di situ

untuk tujuan lawatan sosial di antara kaum keluarga.

Pemerhatian saya terhadap senibina ‘tambahan’ pada flat

itu amat menarik. Seolah dipersonalisasikan oleh tuan

rumah yang secara tidak langsung membentuk

keperibadian rumahnya sendiri. Kita bercakap tentang

berpuluh buah rumah yang tidaklah mempunyai sepakat

kata untuk menambahkan feature pada rumah mereka.

Sewaktu melawat rumah Ridhwan, saya difahamkan oleh

Aizam yang perancang masa kini memberi panduan kepada

tuan rumah dalam menokok tambah feature pada rumah

mereka, “Haruslah sebegini sahaja semuanya nampak

harmoni dan sekata.” Ya, perancangan dan susun atur yang

mengikut garis panduan sebegini adalah sedikit jelek bagi

saya. Ia membataskan penggunaan material dan

rekabentuk yang diidamkan oleh tuan rumah itu sendiri.

20


Kitaran rekabentuk yang sama membuahkan penempatan

yang banal dan tidak berencah.

Suka saya lihat sesebuah flat yang tidak mempunyai

sebarang garis panduan dalam menokok tambah feature

pada rumah mereka. Ia adalah seperti sebuah desa yang

mempunyai denai-denai, tambahan cucur atap yang

janggal tetapi berkesan, kebolehan untuk mengenal pasti

sesebuah rumah jika untuk yang pertama kali hadir ke

sesebuah ‘negeri’ flat itu, dan pelbagai lagi sebab untuk

menyukai personalisasi rawak tetapi masih sopan. Desa

vertikal ini sejujurnya memberi efek yang menarik kepada

penduduk flat itu sendiri. Dengan konsep ‘tiru pakai’, ia

adalah pemboleh ubah yang menambah rencah kepada

arsitektur tambahan bagi sesebuah flat. “Aku mahu

menambahkan lantai pada beranda belakang rumahku

untuk ruang menyidai kain.” Lalu, si polan yang berada di

rumah bawah yang disambungkan slab konkrit itu boleh

menikmati sebuah yard atau ruang rehat yang disimenkan

lantainya dan dipasangkan lampu untuk kegunaan santai

waktu malam.

Saya juga teringat kepada flat ibu saudara saya yang

seorang lagi di Keramat. Tiada yang menarik sangat tentang

apartmen (terlalu mahal untuk disebutkan sebagai flat)

yang unitnya berhadapan dengan jalan besar. Setelah

bertahun lamanya, saya menyedari bahawa jalan itu ialah

MRR2 yang digunakan hari ini. Momen dalam apartmen itu

juga penting oleh kerana imbauan imejan kotaraya sangat

jelas dan ia selalu mengingatkan saya kepada keberadaan

di kotaraya dalam kelas borjuis yang memandang bawah

golongan yang tidak mampu untuk hidup secara vertikal

pada waktu itu yang hidup secara dihampar dan dihambat

hebat keluar dari kotaraya oleh kancah ekonomi sosial

kotaraya sendiri. Momen sebegini memberi makna kepada

saya lebih-lebih lagi sewaktu menonton filem yang

mempunyai shot dari unit apartmen dan menghadap ke

jalan. Filem yang paling dekat feel itu ialah Yi Yi arahan

Edward Yang.

Ramai yang mengecam kehidupan secara vertikal ini

yang dikatakan tidak punyai privasi dan kebebasan untuk

21


berumah tangga atau pun mempunyai rumah yang selesa

tanpa dihiraukan oleh masyarakat sekeliling. Seolah

kehidupan vertikal ini adalah setegak-tegak bangunan itu

sendiri dan tiada ciri-ciri rumah yang ‘normal’. Bagi saya,

kehidupan vertikal ini lebih menarik jika kita perlu, God

forbid, hidup di dalam vault seperti di dalam permainan

Fallout Shelter 2. Setidak-tidaknya.

2 Fallout Shelter ialah permainan video yang dimajukan dan dimainkan

melalui aplikasi di telefon pintar. Melalui permainan video ini, pemain

perlu membina sebuah ruang kebal yang dilengkapi dengan sistem

kehidupan yang asas di sebuah zaman distopia yang dibina secara vertikal

di bawah tanah.

22


Teater Muzium

Fasyali Fadzly

Muzium adalah tempat yang menempatkan barang lama

untuk dipamerkan – semua orang tau. Artifak-artifak lama,

yang dah tak boleh pakai dan perlu disimpan dengan rapi,

diletakkan di dalam bangunan ini untuk tatapan dan rujukan

di masa akan datang. Pengunjung akan datang ke muzium

untuk tengok artifak ini dan mempelajari sejarah

melaluinya.

Terma teater muzium bukan dicipta oleh saya, tetapi

golongan teater dulu yang tak suka dengan teater realism

Rusia dan seangkatan. Dulu, ketika teater realism berada di

zaman kemuncak, semua orang sangat gemarkan teater

yang macam ini. Mereka datang ke panggung, duduk di

tempat duduk mereka dan menyaksikan persembahan

teater. Namun, ada sekeping dinding lutsinar terbentuk di

antara ruang lakon dan ruang penonton yang digelar

dinding ke-empat (forth wall). Orang yang datang tengok

persembahan ini macam mereka datang tengok artifak di

muzium. Mereka boleh tengok sahaja dan mengetahui

apakah yang terjadi kepada sejarah masyarakat mereka.

Artifak ini (dalam kes ini persembahan teater itu sendiri)

akan kekal berada di dalam ruang pameran dan hidup di

dunia mereka. Replikasi hidup diangkat ke pentas dan

mempamerkan realiti sintetik.

23


Teater muzium boleh bawa konotasi negatif dan juga

positif. Ada yang melihat ia melalui perspektif negatif –

macam Brecht. Brecht anggap teater muzium ini tidak

menganjak pemikiran penonton dan memberi kesedaran

sosial. Penonton hanyut dalam imaginasi pelakon dan tidak

kritis terhadap sosial. Pementasan yang dibuat semula

meniru realiti masyarakat tidak ubah seperti replika.

Peniruan yang jitu ini lagi pula menekankan aspek psikologi

dan memanipulasi emosi dan mentaliti penonton. Penonton

pulang tiada apa-apa rasa tanggungjawab terhadap sosial.

Sama macam melawat muzium.

Dari perspektif yang lebih positif ia lebih kepada

peranan menjaga budaya atau kata orang putih,

preservation. Teater-teater muzium ini wujud kerana ciri

atau bentuk persembahan yang unik seperti teater-teater

Shakespeare, Moliere atau teater tradisional yang terdapat

di negara-negara Asia. Memang ada kompeni teater di

dunia ini yang berdedikasi untuk memelihara artifak ini agar

kekal seperti bentuk asalnya. Dari segi kostum, setting, gaya

dan stail lakonan, pengucapan dan semua aspek lain untuk

tujuan preservation.

Antithesis teater muzium ini adalah teater

eksperimental. Teater yang duduk di tengah-tengahnya –

teater kontemporari. Teater kontemporari ini macam galeri

sifatnya. Lebih terkini dan respon terhadap suasana

semasa. Teater kontemporari ini walau bagaimanapun, akan

jadi artifak dan masuk muzium bila sampai masanya.

Namun, disebabkan pembuat teater kita suka

bernostalgia dan jarang tonton teater, dia tidak sedar teater

yang dia buat sepatutnya dah kena masuk dalam muzium.

Masih ada pembuat teater yang mengulangi formula

penulis, pengarah atau stail terdahulu dalam teater yang

dia hasilkan. Dia tidak sedar gaya dan pendekatan tersebut

dah dihumban pembuat terdahulu ke dalam muzium sebab

dia jarang menonton teater. Namun, tidak juga dia akui

bahawa dia memegang tanggungjawab sebagai pembuat

teater muzium – pembuat teater dengan gaya lapuk. Ini juga

masalah bila dia jadi fanboi yang turut sahaja. (Saya fanboi

Brecht. Saja beritahu).

24


Namun, ada penjaga-penjaga muzium ini yang tidak

suka artifak ini dikacau. Contoh, dalam repertoire Mak Yong

ada 12 cerita sahaja. Cerita yang tidak terdapat dalam

repertoire ini bukan Mak Yong walaupun memakai bentuk

persembahan Mak Yong. Cerita yang memakai format

bangsawan namun tidak mengangkat cerita golongan diraja

bukan Teater Bangsawan. Mereka ini seolah-olah melantik

diri mereka sendiri sebagai pemegang autoriti – penjaga

khazanah seni budaya yang menentukan samada artifak

tersebut masih asli atau tidak. Kontradiksi, tidak semua

begitu.

Ada penjaga artifak ini yang restu dengan

eksperimentasi dan percaya pada evolusi. Namun bilangan

ini perlu bertambah. Budaya perlu dijaga, seni perlu

berganjak. Orang yang duk ulang stail dan formula yang

sama perlu sedar diri untuk beredar. Kalau rasa dah tak

relevan, baik jadi artifak.

25


Panik Di Pusat Undi

skrip teater sebabak oleh Ridhwan Saidi

inspirasi novel Seeing oleh Jose Saramago

WATAK:

Dua orang penjaga di pusat undi di mana salah

seorang boleh diibaratkan seperti malaikat

manakala lagi seorang persis syaitan dalam skala

moderate.

SET:

Dua buah kerusi dan sebuah meja di mana kedua

watak utama akan duduk bersebelahan. Di

hadapan mereka ada ruang mengundi dengan

sebuah kotak peti undi.

[Lampu menyala.]

[Malik berdiri cekak pinggang.]

MALIK

Mana pengundi hantu ni? Takkan tak sampai

lagi?

ZAKIR

Diorang janji pukul berapa?

MALIK

[Malik tengok jam.]

Patutnya dah sampai dah ni.

26


ZAKIR

Mungkin diorang sesat.

MALIK

Pengundi hantu apa macam ni kalau tak

efisien? Kalau aku jadi orang atas dah lama aku

pecat. Lagi setengah jam kita bungkus dah,

sempat ke diorang lima bas nak masuk undi?

Hish, risau aku dibuatnya!

ZAKIR

Pengundi hantu, pengundi hantu juga. Ni

pengundi biasa pun belum ada satu batang

hidung yang datang.

[Malik tengok jam.]

ZAKIR

Diorang ni sedar tak yang hari ni hari

mengundi, nak menentukan hala tuju dan masa

depan diorang? Masa depan negara. Kalau aku

tau jadi macam ni aku tak ambil job ni, biar aku

aja yang mengundi. Sekurang-kurangnya ada

juga lah satu undi.

MALIK

Kejap, biar aku call Datok.

[Malik dail telefon bimbit.]

MALIK

Ada bunyi tapi tak diangkat.

ZAKIR

Kejap, aku pun nak call bini aku. Sepatutnya

bini aku mengundi kat sini hari ni.

[Zakir dail telefon bimbit.]

27


ZAKIR

Hello yang. Hah, ni abang ni. Ni abang nak

tanya sikit. Kamu tu tak datang mengundi ke

hari ni? Apa? Sakit? Tak sihat? Baik, abang

faham. Bukan apa, ni hah apa salahnya kamu

berkorban sikit, tahan sikit sakit kamu tu sekalisekala,

sebab bukan selalu kita dapat peluang

untuk mengundi. Macam abang, abang dah

ambil tanggungjawab ni, jadi abang tak boleh

lah nak mengundi. Kamu datang ya? Apa?

Sibuk? Ada orang dari kampung datang? Apa

orang kampung kamu tu tak mengundi ke? Kan

hari ni… Hello? Hello? Putus pula.

MALIK

Sat ya, aku cuba call Datok lagi.

[Malik dail telefon bimbit.]

MALIK

Ada bunyi tapi tak diangkat juga, pelik.

ZAKIR

Mungkin dia sibuk.

MALIK

Biasanya begitulah calon wakil rakyat.

ZAKIR

Baru calon dah sibuk. Ni peti undi kita ni satu

undi pun belum ada, apa cerita ni?

MALIK

Kejap biar aku cuba call member aku.

[Malik dail telefon bimbit.]

28


MALIK

Hello, Din apa khabar? Baik-baik. Eh aku dengar

kau jaga pusat undi bahagian utara. Macam

mana status hang kat sana. Okay? Takde? Takde

seorang pun datang? Gila-gila. Habis pengundipengundi

hantu yang Datok upah tu pun tak

sampai-sampai? Berat ni. Memang tak boleh

harap. Aku rasa baik kita pecat aja diorang

semua ni. Kau tau bas-bas ni ada kat mana?

Tersangkut tengah jalan ke? Tak dapat dikesan?

Aneh-aneh. Aku kat sini pun sama lah Din.

Belum ada lagi yang datang mengundi. Datok

pun. Aku dah cuba call dia tapi tak berangkat.

Betul tu. Paling koman kalau takde orang

mengundi Datok pun, patutnya Datok sendiri

kena ada inisiatif untuk undi diri sendiri. Eh,

calon pembangkang macam mana? Beres?

Bagus-bagus, boleh naik pangkat kau ni. Eh,

kalau aku bos dah lama aku naikkan kau

pangkat. Eh, okay-lah ada call masuk ni. Nanti

aku call kau balik.

[Malik letak telefon dan jawab panggilan

kedua.]

MALIK

Oh, Datok. Hello Datok. Datok sihat Datok?

Datok ada mana Datok, saya cuba call Datok

banyak kali susah mau dapat lah. Hawaii?

Sedang bercuti? Wah! Baik-baik. Tak ada apa,

saya cuma mau beritahu sikit punya masalah

lah. Pengundi-pengundi yang Datok upah, itu

lima bas tempoh hari, ya, ya, belum sampai lah.

Saya ada sikit risau. Datok tak perlu risau lah,

saya boleh uruskan hal kecik ni. Saya Malik,

Datok. Ya, ya Malik. Selamat bercuti Datok.

[Malik letak telefon bimbit.]

[Malik dan Zakir saling berpandangan.]

29


ZAKIR

Kau tau tak, kalau tak ada seorang pun yang

mengundi bermakna seluruh sistem demokrasi

di negara ini akan runtuh. Orang tak lagi

percaya dengan sistem yang kita jalankan.

Mustahil tak ada seorang pun yang nak

mengundi. Mesti ada orang dalam kawasan ni

yang nak mengundi. Mesti. Takkan semua orang

sepakat untuk tak mengundi? Apa mereka dah

bosan ke dengan pemerintahan sedia ada?

MALIK

Kalau rakyat dah bosan sangat, kenapa mereka

tak undi calon pembangkang? Bukan ke itu

satu-satunya jalan yang betul, jalan demokrasi.

Apa diorang ingat ini negara bapak diorang ke?

Boleh keluar mengundi dan tak keluar

mengundi ikut sesuka hati?

ZAKIR

Mungkin mereka dah fed up, atau mungkin

mereka dah leka dengan dunia internet. Mana

pergi semua orang? Apa agaknya sedang

mereka buat sekarang?

MALIK

Jangan risau, kejap lagi sampailah tu bas-bas

yang kita tunggu.

[Malik tengok jam.]

ZAKIR

Takkan peti undi kita kosong habis masa nanti?

MALIK

Habis tu apa boleh kita buat? Takkan kita nak

paksa orang mengundi. Kau sendiri pun dah

telefon bini kau, suruh dia datang mengundi

tapi dia tak mau. Orang paling dekat dengan

30


kau tu. Ini kan pula kita nak suruh orang lain?

Kita cuma boleh buat apa yang terdaya. Kita

boleh beri sikit wang untuk orang-orang susah

yang nak cari rezeki kat negara ni, dengan beri

mereka sedikit ruang dan peluang untuk

bernafas. Kita senang dan diorang juga senang.

Mungkin senang mereka cuma sekejap tapi

sekurang-kurangnya buat kita, sempat untuk

anak cucu kita tak dipijak oleh orang-orang

Cina. Cina makan babi. Cina tak mandi pagi.

Kau tau?

ZAKIR

Tapi bukan ke Datok orang Cina.

MALIK

Itu lain. Datok lain. Datok dah banyak berjasa

dengan orang kita. Orang kawasan ni. Tu

sekolah agama kat belakang tu, yang naikkan

Datok juga. Tu padang futsal kat depan tu, untuk

anak-anak kita juga, Datok yang cadang. Jadi

aku tak suka lah bila kau cakap, Datok ni Cina.

Datok ni Cina lain. Datok… bukan Cina yang aku

maksudkan.

ZAKIR

Baik-baik, tapi apa yang Datok buat kat Hawaii

saat-saat kritikal macam ni?

MALIK

Kau takkan tak tau dia tu calon wakil rakyat.

Tentu banyak urusan dan hal di luar negeri.

ZAKIR

Takdelah, aku terfikir kalau Datok ada sini, boleh

juga dia undi untuk diri sendiri. Sekurangkurangnnya

takdelah kita tutup kedai dengan

tangan kosong.

31


[Malik lihat jam. Zakir cuit bahu Malik dan

tunjuk ke arah sesuatu. Seorang lelaki korporat

datang ingin mengundi. Zakir dan Malik saling

senyum.]

MALIK

Ya cik, boleh tengok I.C.

[Lelaki korporat beri I.C.]

ZAKIR

Silakan cik.

[Lelaki korporat mendapatkan kertas undi,

tanda sesuatu dan semasa hendak

memasukkan ke dalam peti undi, dia diserang

sakit jantung dan jatuh ke lantai.]

ZAKIR

Ya, Tuhan!

[Zakir mendapatkan lelaki korporat dan dapati

dia tak lagi bernafas.]

ZAKIR

Dah mati.

MALIK

Masukkan aja kertas yang dia pegang.

ZAKIR

Eh, mana boleh? Salah, tak ikut protokol.

MALIK

Tapi dia dah tanda kan? Mungkin undi tu

amanat terakhir dia.

32


ZAKIR

Dah-dah, apa-apa call ambulans dulu, ini bukan

masa untuk kita fikir pasal undi.

[Malik pura-pura dail telefon bimbit.]

MALIK

Telefon aku habis kredit pulak dah.

[Zakir bangkit dan dapatkan telefonnya.]

[Zakir dail telefon bimbit.]

ZAKIR

Hello… ini hospital ya. Tolong hantar ambulans

ke pusat undi, ya, ya… seorang pengundi

diserang sakit jantung. Dia macam dah tak lagi

bernafas. Baik, ya, ya… segera, lekas… kami di

belah selatan…

[Zakir bercakap di telefon sambil berjalan ke

luar. Malik lihat Zakir keluar. Malik lihat kertas

undi di tangan lelaki korporat. Malik ambil

kertas undi itu mahu dimasukkan ke dalam peti

undi, tetapi menarik balik tangannya untuk lihat

siapa yang dipangkah. Buat seketika Malik

mengoyakkan kertas undi lalu mencampakkan

ia ke bawah. Malik tarik nafas dan cekak

pinggang.]

[Lampu padam.]

TAMAT

33


Sebarang maklumbalas boleh hubungi:

litzin.kerjatangan@gmail.com

Teks setiap karya © kontributor/penulis

Sub-editor: Nurul Aizam

Desain, susunan & ilustrasi oleh

Ridhwan Saidi © 2018

Dicetak dan dijilid di Malaysia

oleh Rorschach Ink.




Hooray! Your file is uploaded and ready to be published.

Saved successfully!

Ooh no, something went wrong!