UCAPAN Y - Kementerian Sumber Manusia

mohr.gov.my

UCAPAN Y - Kementerian Sumber Manusia

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN

DAN

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN

TABUNG WIRA LAHAD DATU

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

UCAPAN OLEH:

YANG BERHORMAT DATO’ SRI DR. S. SUBRAMANIAM

MENTERI SUMBER MANUSIA

19 MAC 2013 (SELASA)

DEWAN SERBAGUNA, ARAS 1, BLOK D3, KSM

Terima kasih saudar dan saudari Pengacara Majlis,

Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Senator Datuk Maznah binti Mazlan

Timbalan Menteri Sumber Manusia

Yang Berbahagia Dato' Seri Zainal Rahim bin Seman

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia

Yang Berbahagia Dato' Haji Mohd. Shariff Hussin

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi)

1


Yang Berbahagia Encik Mohd. Sahar Darusman

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa)

Yang Berbahagia Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz bin Ibrahim, Asistan Ketua Staf

Perkhidmatan Anggota mewakili Angkatan Tentera Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Murtadza bin Nazarin, Pengarah Pengurusan PDRM, Bukit Aman

mewakili Polis DiRaja Malaysia.

Yang Berbahagia Datin Seri Hajjah Nik Hasmah binti Nik Kadir

Pengerusi PUSPANITA Kementerian Sumber Manusia

Yang Berbahagia Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan Agensi

Yang Berbahagia Pengarah-pengarah Jabatan dan Agensi

Dato’-dato’, datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan, pegawai-pegawai kanan kementerian

dan jabatan, warga Kementerian Sumber Manusia sekalian.

UCAPAN PENGHARGAAN

1. Pertamanya, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan ribuan

terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang hadir dengan tujuan untuk kita

meniupkan semangat patriotik ekoran kejadian yang berlaku di Sabah khususnya di Lahad

Datu. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada wakil-wakil daripada

Tentera dan Polis kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dalam Majlis

Perhimpunan KSM bagi bulan Mac 2013 dan seterusnya Majlis Penyerahan Sumbangan

Tabung Wira Negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

UCAPAN TAKZIAH KEPADA WIRA NEGARA

2


2. Izinkan saya terlebih dahulu bagi pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja

Kementerian Sumber Manusia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota

keselamatan kita yang terkorban semasa berjuang mempertahankan kedaulatan negara di

Lahad Datu dan Semporna, Sabah. Kami amat bersimpati dengan keluarga anggota yang

terkorban. Namun kita juga menyanjung tinggi perjuangan dan pengorbanan wira negara

ini. Atas sebab tersebut, saya mengambil keputusan supaya Majlis Perhimpunan bulan ini

diadakan serentak dengan Majlis Penyerahan Tabung Wira Negara, iaitu satu tabung yang

telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perhimpunan Perkhidmatan

Awam Ke-13 (MAPPA) pada 11 Mac 2013 yang lalu.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

KESELAMATAN NEGARA TANGGUNG JAWAB BERSAMA

3. Sesungguhnya pengorbanan anggota keselamatan negara kita terutama pihak

tentera dan polis tidak harus dipandang remeh. Ini kerana keharmonian dan kemakmuran

negara tidak akan dinikmati jika negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan bergolak.

Kita tidak akan dapat menjalani kehidupan yang aman jika keadaan masyarakat dan

negara tidak stabil, sama ada dari segi perhubungan sosial, aktiviti ekonomi mahupun

suasana politik. Semua ini melibatkan faktor keselamatan dan pertahanan negara. Negara

kita menjadi aman kerana keselamatan dapat dijamin melalui penglibatan anggota polis

dan tentera yang sentiasa bersiap sedia dan cekap.

4. Menyentuh mengenai insiden di Sabah ini, saya ingin menasihati pegawai dan

kakitangan kementerian/jabatan/agensi supaya tidak terlibat dalam penyebaran beritaberita

palsu berkaitan dengan insiden ini apatah lagi untuk memperlekeh kemampuan

anggota keselamatan negara. Kita mesti ingat, bahawa soal keselamatan dan pertahanan

negara bukan semata-mata terletak di bahu tentera dan polis sahaja. Di bawah konsep

HANRUH, atau pertahanan menyeluruh, setiap warga negara yang cintakan negara ini,

perlu mengambil tahu soal keselamatan negara.

5. YAB Perdana Menteri juga mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya

biarlah ada rasa empati terhadap mereka. Justeru, kita harus memberikan kata-kata

semangat, doa dan harapan semoga mereka beroleh kemenangan dalam memperjuang

3


dan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara. Inilah masanya kita perlu

merapatkan barisan, tunjukkan kesetiaan kerana dalam saat negara memerlukan ketaatan

dan kesetiaan, kita harus tampil ke hadapan dan menjadi barisan yang boleh menjadi

penyumbang semangat kepada perwira yang sedang berjuang.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

KEPENTINGAN SEMANGAT PATRIOTIK

6. Saya menyeru kepada semua warga KSM, tingkatkanlah semangat patriotik anda

bagi memastikan kemerdekaan negara dapat dipelihara. Semangat patriotik juga dapat

membentuk identiti dan jati diri kita untuk cinta kepada negara. Semangat patriotik juga

dapat mengukuhkan perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum dan agama. Semangat

patriotik menuntut kita untuk mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan

individu atau kumpulan.

7. Langkah Kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga

merupakan satu langkah memupuk semangat patriotisme dan negara bangsa yang

berdaulat dengan menyediakan generasi muda yang cintakan negara serta memupuk

perpaduan kaum dan integrasi nasional ke arah kemakmuran negara.

8. Begitu juga bagi anggota perkhidmatan awam, ada yang telah menganggotai

pasukan askar Wataniah. Semangat patriotisme ini penting supaya kita mempunyai niat

yang betul dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Ini amat penting

memandangkan warga perkhidmatan awam adalah penggerak utama bagi memastikan

misi dan visi yang direncanakan oleh Kerajaan dapat dijayakan dengan cemerlang.

9. Kita semua harus sedar pentadbiran kerajaan cabaran pada masa kini amat berbeza

sekali berbanding cabaran pada masa lalu. Kini, rakyat atau stakeholders semakin hari

semakin menuntut perkhidmatan yang lebih cepat, cekap, telus dan efektif. Tuan-tuan dan

puan-puan sebagai penjawat awam perlu melaksanakan tugas dan amanah tersebut

dengan penuh tanggungjawab dan berkesan.

4


10. Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah

memberikan sumbangan kepada Tabung Wira Negara. Semuga sumbangan kita ini akan

dapat sedikit- sebanyak meringankan beban dan membantu waris-waris anggota polis dan

tentera yang terkorban ketika bertugas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah baru-baru ini.

Marilah sama-sama kita tingkatkan kesedaran betapa pentingnya keamanan negara

dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan negara.

Sekian, terima kasih.

5

More magazines by this user
Similar magazines