Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

moe.gov.my

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

ISistem pendidikan kita merupakan tunjang pembangunan negara.

Sistem ini telah menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran

kepada generasi kini dan generasi sebelumnya bagi memacu

pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara.

Sesungguhnya, kejayaan sistem pendidikan adalah hasil

kegigihan dan dedikasi para guru, pengetua, pentadbir,

pegawai dan kakitangan sokongan yang menjadi teras kekuatan

Kementerian Pelajaran sejak dahulu hingga kini. Bakti yang

telah dicurahkan oleh mereka tidak dapat disangkal oleh manamana

pihak. Dalam tempoh lebih 55 tahun negara mencapai

kemerdekaan misalnya, kita menyaksikan peningkatan yang

ketara akses pelbagai peringkat pendidikan. Negara boleh

berbangga dengan kejayaan kita menyediakan pendidikan rendah

dan menengah rendah yang telah mencapai tahap hampir sejagat.

Kejayaan negara menyediakan peluang pendidikan dalam tempoh

yang singkat selepas merdeka telah diakui dan diiktiraf oleh

pertubuhan antarabangsa, seperti UNESCO dan Bank Dunia.

Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran

persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai. Oleh

itu, Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap

keseluruhan sistem pendidikan semasa untuk melonjakkan

pencapaian semua murid. Tidak dinafikan bahawa proses

pelaksanaan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan

dan strategi baharu agar setiap murid mampu memiliki dan

menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Oleh yang demikian, transformasi pendidikan bukan sekadar

menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, malah perlu

menjurus kepada usaha untuk memahami dan menambah baik

dinamik proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam usaha mencapai hasrat tersebut, kerajaan mengambil

langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan. Pelan ini

menyediakan kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk

menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas

dan mapan sehingga tahun 2025. Bersandarkan inisiatif yang

telah diperkenalkan bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara,

pelan pembangunan ini menggariskan perubahan besar yang

kita hasratkan. Antara lain, perubahan yang dimaksudkan

merangkum aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah

pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada

guru dan pemimpin sekolah, dan pendekatan pengoperasian

Malaysia Education Blueprint 2013 - 2025

Foreword

Kementerian. Pelan ini dengan jelas menggambarkan faktor

penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan

transformasi yang bakal dilalui.

Kesemua matlamat ini melambangkan cita-cita kita yang

tinggi. Namun, saya yakin kita berupaya mencapainya. Hal ini

termasuklah memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat

pendidikan, iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas

dalam tempoh 10 tahun akan datang, mengurangkan separuh

jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar

dengan luar bandar, dan antara negeri dalam tempoh yang

sama, meningkatkan kedudukan pencapaian negara daripada

kelompok sepertiga terbawah kepada kelompok sepertiga teratas

dalam kalangan negara yang menyertai pentaksiran peringkat

antarabangsa, seperti PISA dan TIMSS, dalam tempoh l5 tahun

akan datang, dan membina sistem pendidikan yang mengasuh

kanak-kanak untuk menghargai keunikan identiti sebagai

warganegara Malaysia. Secara keseluruhannya, hasrat ini mesti

dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang dan teliti,

dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk

meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi

penghargaan kepada Kementerian Pelajaran dan semua pihak yang

menyumbang kepada pembinaan Pelan Pembangunan Pendidikan

ini. Saya akui bahawa bukanlah mudah untuk melaksanakan

transformasi sistem pendidikan, dan kita bakal berdepan dengan

pelbagai cabaran sepanjang tempoh pelaksanaannya.

Tetapi percayalah, bukan sahaja kerajaan dan Kementerian

Pelajaran yang komited untuk mencapai kesemua matlamat ini,

malah saya secara peribadi juga komited. Dengan berganding bahu

bersama-sama rakyat, saya amat yakin bahawa kita akan terus

tabah dan dapat memastikan setiap matlamat berjaya dicapai.

Daripada ibu bapa, anggota masyarakat sehinggalah sektor swasta,

kita semua mempunyai peranan dalam meningkatkan kualiti sistem

pendidikan negara yang akan membantu menyemai benih kejayaan

anak kita, yang dapat kita laksanakan dengan bangganya.

Insya Allah, marilah kita harungi perjalanan yang menguja,

mencabar dan amat penting ini secara bersama, sebagai satu

bangsa.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia

7

More magazines by this user
Similar magazines