13.03.2018 Views

SENAMAN SILAT WANITA

Create successful ePaper yourself

Turn your PDF publications into a flip-book with our unique Google optimized e-Paper software.

Keris sebilah dari Bentan,

Sayang sejengkal kedua jari;

Tuan laksana permata intan,

Hilang di mana saya nak cari.

Kata-kata Semangat

Senaman Silat Wanita

Megat Ainuddin Megat Mohd Nordin &

Prof. Madya Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin

“Pendedahan seni Senaman Silat bagi kaum hawa membuka dimensi baru dalam

amalan penjagaan kesihatan. Olahan tenaga dalaman dengan kelembutan tari dan

lenggoknya berjaya mengubah pandangan umum mengenai Seni Silat yang telah

diamalkan sejak turun temurun. Nyata buku ini memberi nafas baru kepada nilai

budaya kita yang tinggi.”

- Zainuddin Ismail, Penulis dan Pengasas Kaedah Sistem Nilai

“Buku ini merupakan satu dokumentasi yang sangat bermakna khususnya dalam

merekod perihal budaya dan penjagaan kesihatan wanita. Senaman untuk wanita

ini boleh diamalkan oleh semua lapisan umur demi mencapai maksud tersebut.

Kelahiran buku ini memberi satu nafas baharu dalam menurunkan ilmu serta

maklumat budaya senaman orang Melayu.”

- Faisal Tehrani, Penerima Anugerah Seni Negara

“Senaman Silat Wanita memaparkan ciri-ciri senaman dinamik dan juga statik

seperti mana kefahaman kesihatan moden. Unsur-unsur menguat dan meregang

otot serta kadar intensiti senaman yang pelbagai menjadikan senaman silat kaedah

senaman yang sesuai untuk pelbagai tahap kecergasan seseorang wanita.

Tambah-tambah lagi unsur seni tarian yang terdapat pada Senaman Silat Wanita

tentu sekali dapat menarik pengamalnya untuk bersenam tanpa jemu.”

- Prof. Madya Dr. Zaiton Zakaria

Ketua Kumpulan Penyelidikan Kardiovaskular dan Petanda Kesihatan,

Universiti Kebangsaan Malaysia

“Rujukan menarik dalam pengamalan kesihatan dan kecantikan kaum hawa. Bakal

menjadi salah satu senaman alternatif buat gadis Melayu!”

- Ezzah Abd. Aziz Fawzy,

Personaliti dan Penerbit

Program realiti ‘Pencarian Gadis Melayu TV9 Musim Pertama’

Matlamat memelihara kesucian roh telah menyusun adab dan martabat

menuntut ilmu dan amalan persilatan yang begitu tinggi kandungan rohaninya.

Terkadang-kala tidak dapat dibezakan ilmu dan amalan persilatan dengan

amalan dan ilmu-ilmu tasawuf.

Maka pahlawan yang ‘kuat’ dalam budaya Melayu tidak hanya terikat kepada

pengertian ‘kuat jasmani’ semata-mata. Fahaman sebegini membuka laluan bagi

kaum wanita bergiat cergas dalam seni persilatan bersama-sama kaum lelaki.

Apabila memelihara kesucian roh berada pada martabat tertinggi dalam segala

amalan insan, kekuatan jasmani yang sememangnya penting dalam Seni Silat

tidak lagi menjadi kayu ukuran mutlak kepahlawanan seseorang itu. Kerajaan

Acheh misalnya, pada zaman getirnya apabila berdepan dengan kemaraan kuasa

penjajah Portugis dan Belanda telah mengangkat Laksamana Malahayati,

seorang wanita sebagai panglima armada lautnya. Ini berlaku pada zaman

pemerintahan Sultan Iskandar Muda ke-2. Laksamana Malahayati pernah

menumpaskan armada Belanda di bawah pimpinan Laksamana Cornelius de

Hottman, penjelajah legenda Belanda.

2

Senaman Silat Wanita

Buku ini memperkenalkan Senaman Silat Wanita mengikut pendekatan ilmu

persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu. Susur galur ilmu persilatan ini

disabitkan kepada Raja Adityarvarman, Raja Islam pertama di Pagar Ruyung,

Sumatera pada abad ke-13 dengan mengambil gelaran Seri Maharaja Diraja

Kerajaan Minangkabau. Pada tahun 2003, YAM Tunku Naquiyuddin ibni

Tuanku Jaafar berkenan menjadi penaung bagi pertubuhan Istiadat Pewaris

Penjurit-Kepetangan Melayu.

Unsur seni tempur dan bela diri sememangnya terserlah dalam Seni Silat

Melayu. Namun unsur senaman yang terdapat dalam setiap gerak seni silat

juga wujud sebagai unsur yang tersendiri. Malah Senaman Silat mula

diiktiraf mampu menandingi senaman Yoga mahupun Tai Chi. Kemampuan

ini terbit daripada pandangan-alam Seni Silat Melayu-Islam yang berbeza

daripada pandangan-alam Yoga-Hindu mahupun Tai Chi-Fu Tzu.

Gerak-gerak silat merupakan cernaan indah antara roh dan gerak jasad

manusia. Keindahan setiap gerak itu pula terilham daripada pemerhatian

alam semula jadi nusantara Melayu dan diolah sedemikian rupa agar mampu

memenuhi ciri-ciri gerak pahlawan. Dan kesemua gerak-gerak Senaman Silat

ini dituntut agar ianya terlaksana dengan penuh zuhud kepada Allah

azzawajalla semata-mata:

“Zuhud itu membentuk Iman, Mengurai nafsu belenggu badan,

Jiwa pahlawan hambanya Tuhan; Gerak Asangin mencari diri,

Memujuk roh yang tidak terperi, Roh yang merindu zikir Ilahi.”

Senaman Silat Penjurit-Kepetangan Melayu dikenali dengan nama khasnya,

Setua Seni Senaman Melayu. Buku ini memberi tumpuan kepada

gerak-gerak jasmani dengan ingatan kepada pengamal buku ini agar sentiasa

berzikir dengan zikir-zikir lazim seperti subhanallah, alhamdulillah, wala

illaha illallah wa allahu akbar. Petuanya ialah setiap zikir itu hendaklah

selaras dengan alunan pernafasan yang tenang dan seiring dengan gerak

senaman silat yang disempurnakan. Peruntukkanlah 30 hingga 45 minit

untuk setiap sesi senaman dan bermulalah dengan bismillah dan akhiri

dengan alhamdulillah.

Kaedah pernafasan yang betul merupakan tunggak dalam setiap gerakan silat.

Ketenangan jiwa, pengawalan perasaan, tumpuan terhadap keadaan diri,

persekitaran dan juga lawan, serta persediaan anggota badan untuk bertindak

memerlukan corak pernafasan yang betul. Senaman Silat Wanita bermula

dengan Nafas 5 Asangin Hawa. Alunan nafas dipupuk agar beralun mengikut

gerakan lembut anggota badan dalam keadaan diri yang sedang duduk

bersimpuh ataupun bersila. Nafas 5 Asangin Hawa terdiri daripada 5 kumpulan

gerakan Senaman Silat yang tumpuannya ialah cara dan kaedah pernafasan

yang betul. Ini diikuti pula dengan Gerak 3 Kiangin Salbalqis dengan senaman

sambil berdiri yang agak rancak. Setiap gerak Kiangin berlaku dengan iringan

dan tumpuan agar pengawalan pernafasan sentiasa betul.

Senaman Silat Wanita diteruskan dengan Seni 3 Randai Piring Istiadat.

Asal-usul senaman ini ialah seni tarian istana dengan keindahan gerak

jemari dan tangan serta lenggokan badan yang serasi dengan bentuk tubuh

badan wanita. Senaman ini mujarab sekali untuk memulih dan memelihara

urat saraf, sendi dan otot di bahagian kepala, tangan dan pinggang.

Senaman Nafas 5 Asangin Hawa, Gerak 3 Kiangin Salbalqis dan Seni 3

Randai Piring Istiadat juga berperanan sebagai pemanas badan. Urat saraf,

sendi dan otot dirangsang dengan gerakan yang agak ringan agar mampu

menampung gerakan pada kadar dan intensiti yang lebih tinggi

kemudiannya. Memanaskan badan penting untuk mengelak kejutan pada

anggota badan. Kejutan yang tidak dapat ditampung boleh mencederakan

urat saraf, sendi ataupun otot pada anggota badan berkenaan.

Jurus utama Senaman Silat Wanita tertumpu pada senaman Serat Sendi

Hawa. Terdapat 11 kumpulan senaman dalam jurus utama ini yang meliputi

hampir keseluruhan sendi dan otot anggota badan.

3

Ciri senaman dinamik dan statik seperti mana kefahaman kesihatan moden

agak ketara pada Senaman Silat Penjurit-Kepetangan Melayu. Unsur

dinamik berada pada tuntutan gerakan yang berterusan dan semestinya

menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat pada kadar yang lebih

daripada biasa. Unsur statik pula berada pada tuntutan agar tegangan otot

pada satu-satu posisi gerakan ditahan untuk seberapa ketika. Hasilnya bukan

sahaja kecergasan meningkat tetapi juga diiringi dengan kerapian dan

kekuatan otot.

Lebih menarik lagi, Senaman Silat berlaku dalam kesederhanaan, sesuai

dengan budaya Melayu yang menuntut kesederhanaan dalam segala amalan

hidup. Maka, tidaklah terjumpa dalam Senaman Silat itu senaman yang

dipaksa-paksa atau meletihkan melainkan di dalamnya penuh dengan

gerak-geri yang tenang, perlahan dan mendamaikan. Sesuai sangatlah

Senaman Silat ini untuk pelbagai golongan tidak mengira lelaki atau

perempuan, tua atau muda, yang sudah cergas atau yang baru mula

bersenam.

Senaman Silat Wanita diakhiri dengan Senaman Akhir Intan Selilin. Melalui

2 kumpulan Senaman Silat ini, rangsangan dan ketegangan yang terkumpul

semasa bersenam silat dikurangkan secara beransur-ansur agar mencapai

kerehatan fizikal yang sesuai. Sebagaimana fasa memanaskan badan, fasa

menyejukkan badan ini penting untuk memelihara urat saraf, sendi dan otot

daripada kecederaan.

Pakar kesihatan memberi petua berikut untuk mencapai manfaat yang sebaik

mungkin dalam aktiviti senaman : 20 hingga 30 minit senaman dinamik,

sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan senaman yang menguatkan

otot dan yang meregangkan otot sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Jika

tidak berkesempatan, senaman ringan bolehlah dibuat berdikit-dikit asalkan

tempoh terkumpul selama 30 minit sehari tercapai. Senaman ringan yang

berdikit-dikit ini hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya 5 hari

seminggu untuk mendapat manfaat kesihatan yang ketara.

Unsur-unsur menguat dan meregang otot sememangnya ada pada Senaman

Silat. Tambahan lagi, Senaman Silat tidak perlukan ruang yang besar

mahupun kelengkapan yang mahal. Ini memudahkan pengamal Senaman

Silat untuk lebih kerap bersenam. Tempoh masa bersenam untuk mencapai

peningkatan kecergasan dan kesihatan yang ketara lebih mudah tercapai.

Biasanya, Senaman Silat dibuat pada waktu pagi, sebaik-baiknya selepas

subuh. Sungguhpun begitu, tiada petua yang menetapkan masa yang tertentu

untuk bersenam silat.

4

Kesihatan Wanita

Menurut pakar kesihatan, manfaat khusus kesihatan yang boleh dicapai

melalui senaman adalah seperti berikut:

Penyakit Jantung dan Strok : Senaman yang mencukupi dapat

membantu menghindar penyakit jantung dan strok dengan menguatkan

otot jantung, mengurangkan tekanan darah, meningkatkan tahap

kolesterol baik (HDL) dan mengurangkan tahap kolesterol bahaya

(LDL), memperbaiki aliran darah serta meningkat keupayaan kerja

jantung.

Tekanan Darah Tinggi : Senaman yang mencukupi dapat

menurunkan tekanan darah bagi mereka yang tinggi tahap tekanan

darahnya. Kadar lemak badan yang selalu dikaitkan dengan tekanan

darah tinggi juga dapat dikurangkan melalui senaman.

Kencing Manis (terutamanya Non-Insulin Dependent Diabetes) :

Dengan mengurangkan kadar lemak badan, senaman dapat menghindar

dan mengawal diabetes jenis ini.

Obesiti : Senaman dapat membantu menurun kadar lemak badan

dengan membina atau memelihara jisim otot serta meningkatkan

keupayaan badan untuk menggunakan tenaga. Senaman yang

diperkuatkan dengan pemakanan terkawal mampu menghindar

kegemukan yang merupakan penanda risiko utama pelbagai penyakit.

Sakit Belakang : Dengan menguatkan otot dan daya tahan serta

perbaikan keanjalan sendi dan postur badan, senaman membantu

mengurangkan sakit belakang.

Osteoporosis : Senaman mempunyai unsur menahan berat, membina

ketumpatan tulang dan boleh menghindar kerapuhan tulang yang

dikaitkan dengan proses penuaan.

Kesan Psikologi : Senaman merangsang rembesan hormon endorfin

yang dikaitkan dengan rasa tenang-gembira. Penyelidik mendapati

senaman mengurangkan kemurungan dan kerisauan serta membantu

pengawalan stres.

Setiap bab dalam buku ini mempunyai perbincangan dan petua berkenaan

kesihatan wanita. Semoga ianya bermanfaat kepada pembaca sekalian.

5

www.ameenbooks.com.my

2-1, Tingkat Satu, Jalan 9/23A

Medan Makmur Off Jalan Usahawan

53200 Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia

Tel: +603-4143 4343 Faks: +603-4149 1414

E-mail: alameen@tm.net.my AJL931362

Teks Asal : Megat Ainuddin Megat Mohd Nordin 2009

Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin 2009

Grafik, Fotografi, dan Teks Tambahan: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd 2009

Hak cipta terpelihara. Setiap bahagian daripada terbitan ini tidak boleh diterbitkan

semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama

ada dengan cara elektronik, gambar, rakaman dan sebagainya tanpa izin penerbit

terlebih dahulu.

Had Liabiliti. Buku ini diterbitkan dengan sebaik mungkin bagi tujuan panduan

dan pendidikan para pembaca. Panduan dan nasihat yang terkandung dalam buku

ini bertujuan baik dan bersifat umum. Anda berkemungkinan perlu merujuk

kepada penasihat atau pengamal profesional untuk sesuatu keputusan yang bersifat

khusus untuk diri anda. Pihak pengarang dan penerbit serta wakil-wakil mereka

tidak memberi apa-apa jaminan terhadap isi kandungan buku ini dan tidak boleh

dipertanggungjawabkan dengan apa-apa liabiliti ataupun kerugian kepada

mana-mana pihak yang terbit daripada keputusan yang anda buat.

Penerbit merakamkan penghargaan kepada Kementerian

Kewangan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka selaku Urus Setia

dan Penggerak Industri Buku Negara yang menyalurkan dana untuk penerbitan

buku ini.

Perpustakaan Negara Malaysia

Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

Megat Ainuddin Megat Mohd Nordin, 1961

Senaman silat wanita untuk semua / Megat Ainuddin Megat Mohd Nordin &

Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin.

ISBN 978-983-3991-85-3

1. Silat. 2. Martial arts-Health aspects. 3. Physical fitness for women.

I. Nor Anita Megat Mohd. Nordin. II. Judul.

613.7148

Dicetak oleh: Percetakan Maju Jaya Sdn. Bhd. No 68, Jalan 14-E, Ampang New Village, 68000 Selangor.

ii

Panduan Senaman

Silat Melayu Asli

Senaman

Silat

Wanita

Megat Ainuddin Megat Mohd Nordin

Prof. Madya Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin

www.ameenbooks.com.my

Megat Ainuddin

Megat Mohd Nordin

Sarjana Muda Senireka

Universiti Teknologi Mara

Pengajar Senaman Silat

Kakitangan Swasta, Kerajaan

dan Pelajar

Tenaga Redaksi

Prof. Madya Dr. Nor

Anita

Megat Mohd Nordin

Pemenang Pingat Pameran

Inovasi dan Rekacipta 2005

Geneva

Pensyarah di Fakulti Perubatan

Universiti Kebangsaan Malaysia

Puteri Aideeni

Megat Ainuddin

Diploma IT Business

APIIT/UCTI

Asia Pacific University

College of Technology &

Innovation

Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Fadhlatullah

Zakaryya

BA Hons.

Universiti Utara Malaysia

Editor : Che Mazlan Saad Fotografi : Firdaus Abd Aziz Grafik : Khyrul Alfie

iv

Penghargaan Pengarang

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian

bagi Allah seru sekelian alam. Salam dan Selawat ke atas junjungan besar baginda

Rasulullah SAW, berserta para ahlul bait dan para sahabat baginda, terutamanya

Khulafa Ar-Rasyidin. Para Ajar-ajar Pendita, terima kasih yang tak terhingga kerana

sudi mewariskan ilmu yang tak ternilai ini. Kesinambungan perjuangan para pendita

akan Nudin teruskan sehingga wareh seterusnya. Khas buat Bah, Mama dan keluarga,

terutamanya isteri serta anak-anak yang tercinta. Berkat kesabaran selama ini sudah

mula membuahkan hasil. Semoga kebahagiaan, kenikmatan dan kerahmatan dunia

akhirat buat kita sekeluarga. Adinda-adinda Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan

Melayu, penat jerih, pahit dan manis serta liku-liku tetap kita harungi jua demi

merealisasikan visi dan misi ini. Ingatlah adindaku, pertemuan ini bukan sekadar

kebetulan, tetapi penyambung ikatan silaturrahim yang telah wujud sejak dahulu lagi.

Bersama-samalah kita berusaha mengangkat serta memartabatkan Warisan Melayu ini

ke peringkat dunia.

Sekilas

Pandang

NAFAS 5

ASANGIN

HAWA

GERAK 3

KIANGIN

SALBALQIS

SENI 3

RANDAI

PIRING

ISTIADAT

SENAMAN 11

SERAT

SENDI

HAWA

SENAMAN AKHIR INTAN SELILIN

v

Kandungan

SENAMAN SENI SILAT MELAYU

UNTUK WANITA

NAFAS 5 ASANGIN HAWA

Nafas Kuntum Seroja 12

Nafas Istiadat Agung Pagar Ruyung 16

Asangin Permata Delima 26

Asangin Sulaman Sutera 32

Sesila Ratu Puteri 38

Kesihatan Wanita : Wanita Sihat Sejahtera

GERAK 3 KIANGIN SALBALQIS

Kiangin Hembusan Bayu 50

Kiangin Selayang Padang 54

Kiangin Singgahelang 62

Kesihatan Wanita : Kesihatan Payudara

SENI 3 RANDAI PIRING ISTIADAT

Randai Piring Ratu Puteri 76

Randai Piring Minang Sembilan 82

Randai Piring Kalung Inang 94

Kesihatan Wanita : Berat Badan Unggul

vi

SENAMAN 11 SERAT SENDI HAWA

Kacip Pendeng Selaseh

Kacip Pinang Serai

Lulur Kelopak Kemboja

Simpul Lipat Cintamani

Simpul Lipat Cenuai

Simpul Lipat Cindai

Kacip Kuang Semerak

Lentik Kuang Apungan

Kacip Kuntum Teratai

Lentik Lulur Cenderawasih

Lintang Panji Puteri

Kesihatan Wanita : Aktiviti Fizikal

112

116

120

124

130

136

144

154

158

166

171

SENAMAN AKHIR INTAN SELILIN

Randai Piring Merak Kayangan

Randai Piring Tanjung Puteri

Kalung Ratu Silang Beradab

Kesihatan Wanita : Barah Pangkal Rahim

181

185

189

vii

Pembuka Bicara

Seni Silat memaparkan budaya pahlawan Melayu. Terkandung dalam

budaya pahlawan ini merupakan unsur-unsur agama, bahasa, adat resam,

kesenian dan sejarah yang diwarisi dari satu keturunan ke keturunan yang

seterusnya. Unsur-unsur budaya Melayu ini termeterai dalam jiwa Seni Silat

Melayu melalui proses tapisan dan serapan ribuan tahun lamanya. Adunan

unsur-unsur inilah yang menjadikan Seni Silat panji jati diri bangsa Melayu.

Sejak dahulu lagi kaum wanita terlibat cergas dalam Seni Silat. Sebab

utamanya adalah sifat budaya sosial alam Melayu yang sememangnya tidak

meminggirkan kaum wanita dalam soal-soal kepimpinan dan keselamatan

masyarakat. Puncaknya dilakar oleh sejarah Nusantara Melayu apabila

kaum wanita pernah diangkat menjadi Ratu (pemerintah) di Acheh dan juga

Pattani. Hingga ke hari ini, kaum wanita di Nusantara Melayu giat terlibat

dalam pelbagai bidang kepimpinan dan keselamatan masyarakat. Khusus

dalam Seni Silat pula, galakan untuk kaum wanita bergiat cergas terbit

daripada kefahaman mengenai sifat pahlawan itu sendiri. Tidaklah gelaran

pahlawan itu diberi oleh bangsa Melayu kecuali ketangkasan pencak silat

seseorang itu didokong oleh kemuliaan akhlaknya. Dalam mencapai

kemuliaan akhlak, tiada kelebihan pada kaum lelaki berbanding kaum

wanita.

Akhlak ditakrifkan oleh Imam al-Ghazali sebagai serlahan spontan tutur kata

dan perbuatan. Dan gerak-gerak silat merupakan satu contoh serlahan perbuatan

dalam bentuk daya yang dipantul oleh kekuatan akal dan emosi insan. Akal dan

emosi menurut kefahaman Islam merupakan dua unsur yang terbit daripada roh

yang bersemadi dalam jasad manusia. Kesucian roh akan menentukan

pembentukan akal dan emosi insan yang sah dan mulia. Maka kesucian roh

harus sentiasa dipelihara dengan ilmu, iman dan amalan yang baik agar terzahir

akhlak yang mulia. Seni Silat tidak sunyi daripada tuntutan menjadi wasilah

dalam gagasan cara hidup Islam untuk membentuk manusia agar berakhlak

mulia. Ini disesuaikan daripada dasar perjuangan Nabi Muhammad SAW :

“ Aku diutus tidak lain hanyalah untuk menyempurnakan akhlak nan mulia.”

Maksud Hadis

1

Lampai bagai

pimping di lereng,

lemah bagai

lenggundi muda.

Puji-pujian terhadap perempuan yang bagus potongan tubuhnya.

Nafas 5 Asangin Hawa

Senaman awalan ini merupakan gerakan pemanas badan dengan

tumpuan terhadap pengawalan pernafasan. Setiap satu kumpulan

senaman bermula dengan merapatkan dua telapak tangan sebagai

Adab Salam iaitu petanda bermulanya majlis senaman. Adab Salam ini

disempurnakan dalam keadaan duduk bersila ataupun bersimpuh – tanda

tawaduk murid bak resmi padi, lagi tunduk apabila berisi. Hendaklah

seterusnya pemikiran dan perasaan diri digarap agar dapat merasai setiap

gerakan yang sedang dilaksanakan. Seolah-olah sedang beruzlah mencari

diri agar dapat merasai kehadiran Allah SWT yang sentiasa bersama kita.

Begitulah gerakan Asangin Senaman Silat dengan pengaruh unsur

tasawufnya yang tinggi. Setiap pergerakan lemah lembut sifatnya, sesuai

benar dengan budaya Melayu. Usaha memperkasakan jasad tidak

melewati kepompong jiwa yang tenang.

8

Setiap gerakan secara sedar diiringi dengan tarikan dan hembusan nafas

yang terkawal. Amalan Senaman Silat sebagaimana amalan zikir tasawuf

menyedari bahawa pengawalan pernafasan merupakan syarat awal untuk

melerai belenggu jiwa agar menyerlah kekuatan roh manusia. Kekuatan roh

ini mempunyai pelbagai nama misalnya Prana dalam amalan Yoga dan Qi

dalam amalan Tai Chi. Limpahan kekuatan roh ini memberi keceriaan,

kecergasan serta kekuatan yang luar biasa kepada jasad manusia. Ini sering

digambarkan dalam filem-filem kung fu Cina. Amalan Sufi dan juga

Senaman Silat pula menumpukan limpahan kekuatan roh ini untuk

mencapai tahap sedar diri yang tinggi agar mampu mendekatkan diri dengan

Allah SWT.

Tentu sekali pengawalan pernafasan sahaja tidak mencukupi untuk

meleraikan belenggu jiwa agar berlaku limpahan kekuatan roh ini.

Keupayaan meleraikan belenggu ini juga dipengaruhi oleh tahap keterikatan

diri kita dengan dunia yang fana ini. Amalan-amalan ibadah khusus Islam

seperti sembahyang, puasa, zakat dan menunaikan haji serta ibadah sunat

yang tidak terhingga banyaknya itu memberikan kita hikmah untuk mampu

meletakkan dunia yang fana ini pada martabatnya yang sesuai. Ini

merupakan sebab utama mahaguru-mahaguru silat yang muktabar menitik

beratkan ibadah-ibadah Islam dalam ilmu persilatan. Malah sebagai

dindingan awal terhadap bisikan Iblis dan Syaitan serta pengaruh nafsu

amarah manusia, zikir-zikir mathurah seperti diamalkan oleh Nabi

Muhammad SAW sering dijadikan amalan dalam ilmu persilatan.

Pengawalan pernafasan dengan unsur rohaninya juga mencapai dua tujuan:

Tujuan Jasmani: Dalam kehidupan seharian, kita bernafas dengan

cetek dan cepat tanpa sedar. Ini mengurangkan bekalan oksigen yang

diperlukan oleh badan. Pelbagai masalah kesihatan seperti sakit jantung

dan gangguan tidur boleh berlaku apabila bekalan oksigen tidak

mencukupi.

Gerakan Asangin membiasakan kita bernafas dengan sedar melalui

pernafasan yang dalam dan perlahan. Kita perlu bernafas dengan sedar

untuk mengembangkan paru-paru secukupnya. Ini perlu untuk

perpindahan oksigen yang optimum kepada sel-sel darah merah.

Oksigen itu kemudiannya tersebar ke seluruh dalaman jasad yang

diperlukan untuk menjana tenaga. Penghasilan tenaga inilah yang

membolehkan kita untuk terus hidup. Kita juga kemudiannya

menghembus keluar karbon dioksida yang terhasil bersama

bahan-bahan kumbahan lain semasa penjanaan tenaga. Bernafas dengan

9

etul penting untuk mencapai imbangan sedutan oksigen dan hembusan

keluar bahan-bahan kumbahan seperti karbon dioksida demi kesihatan

jasmani.

Tujuan Psikologi: Kaedah pernafasan yang baik memastikan kita

berada dalam keadaan sedar yang ceria – menyedari setiap denyutan,

sedutan, hembusan serta isyarat yang dapat ditanggap oleh pancaindera.

Seolah-olah kita mula menyedari betapa eratnya pertautan antara jiwa

dengan unsur diri, alam dan Tuhan. Tekanan pada jiwa mulai kendur

dan ianya memberi kerehatan kepada jasmani kita. Bermulalah

bibit-bibit ketenangan jiwa yang merangsang keupayaan untuk terus

bersenam. Tumpuan terhadap setiap isyarat yang terjana dalam diri

memberi kesempatan dalam menilai perasaan yang timbul – sifat-sifat

mazmumah seperti cepat marah dan hasad dengki lebih mudah dikawal

apabila ianya difahami. Sememangnya pernafasan yang dalam dan

perlahan menenangkan fikiran.

10

Kaedah pernafasan Asangin melalui satu kitaran yang terdiri daripada proses

berikut:

1.

2.

3.

4.

Nafas Sedutan: Nafas sedutan hendaklah sentiasa melalui lubang

hidung dan bukannya mulut. Hidung kita memang telah dicipta Tuhan

dengan pelbagai kemudahan untuk menapis udara sebelum ianya

sampai ke paru-paru kita. Nafas sedutan melalui mulut semasa tidur

misalnya akan menyebabkan dengkuran yang boleh menjadi punca

pelbagai masalah kesihatan. Nafas sedutan ini hendaklah lancar

berterusan tanpa adanya sebarang sekatan. Biasanya, otot-otot dada

ditegangkan dengan tulang bahu dan rusuk diangkat sambil

mengempiskan perut. Pada peringkat yang lebih tinggi, jumlah udara

yang disedut boleh dikawal dengan mengempis dan mengembang

perut.

Hentian Sedutan: Hentian selepas sedutan ini berlaku apabila udara

memenuhi paru-paru. Berhentilah pada kadar tempoh yang biasa.

Kadar hentian yang lama memerlukan kemahiran yang dianggap

tinggi.

Nafas Hembusan: Biasanya otot-otot yang tegang semasa nafas

sedutan akan kembali kendur semasa hembusan nafas. Pada peringkat

yang lebih tinggi, otot-otot yang sesuai dimanfaatkan untuk

mengawal hembusan nafas ini. Biasanya nafas hembusan ini juga

melalui lubang hidung sungguhpun ia boleh dilakukan melalui mulut.

Hentian Hembusan: Berhentilah pada kadar tempoh yang biasa.

Elakkan godaan untuk berhenti bernafas pada kadar tempoh yang

lama.

Cukuplah sekadar pengetahuan awal ini untuk kita memulakan senaman

Nafas 5 Asangin Hawa.

11

Hooray! Your file is uploaded and ready to be published.

Saved successfully!

Ooh no, something went wrong!