44 FEATURE BEST OF BRUNEI MUHIBAH Hidangan tradisional nasi lemak dan pulut panggang sambal udang kering yang menggunakan beras asli Brunei sebagai ramuan utama.
Penanaman padi itu sendiri adalah satu bentuk pertanian berintensifkan buruh di samping memerlukan air yang banyak. Sebanyak 5,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan satu kilogram beras, menjadikan tanaman ini paling sesuai dituai di negara beriklim khatulistiwa ataupun kawasan yang menerima hujan lebat sepanjang tahun; walaupun tanaman padi sebenarnya mampu tumbuh hampir di mana saja – di lereng bukit yang curam mahupun di kawasan pergunungan. Sawah padi yang tersusun di atas batasan teres itu sendiri amat menakjubkan, terutamanya pada saat matahari terbenam. Pemandangan yang mengagumkan ini juga menjadi salah satu alasan mengapa pelancong berulangkali melancong ke Bali untuk melihat keindahan teresan padi dan sawah bendang yang terbentang luas di sana. Penanaman padi yang agak mudah di samping daya tahan tanaman padi itu sendiri telah membuatkan ianya menjadi pilihan popular bagi petani. Memandangkan padi adalah tanaman asas yang paling penting di negara Asia, sebahagian besar pengeluaran beras dunia datang dari negara Cina, Korea, India, Pakistan, Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Myanmar, Filipina, dan Jepun. Negara-negara Asia masih menjadi BRUNEI TIMES penyumbang terbesar dengan mencatatkan peratusan paling tinggi dari jumlah keseluruhan pengeluaran beras dunia. Demikian juga di Negara Brunei Darussalam, nasi merupakan komponen penting dalam gizi pemakanan penduduk tempatannya. Selain menjadi makanan ruji mereka, beras juga digunakan untuk membuat kuih Brunei. Namun begitu, Brunei hanya mampu menyediakan tiga peratus daripada keperluan rakyat tempatan, dengan selebihnya terpaksa diimport dari negara-negara lain. Bagi menjamin keselamatan makanan negara dan memastikan bahawa Brunei mampu mencapai sasaran sara-diri dengan menampung keperluan makanan rakyatnya tanpa mengharapkan negara lain, Brunei telah memulakan rancangan pengembangan pertanian dengan sasaran pengeluaran beras tempatan sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2015. Langkah pertama yang diambil ke arah persediaan penanaman padi dan pengeluaran beras tempatan negara ialah dengan memperkenalkan sejenis padi hibrid berhasil tinggi. Jenis padi yang dibawa khusus dari Filipina ke Brunei ini hanya memerlukan kitaran selama tiga bulan sebelum matang sebelum bersedia untuk dituai. Pada awalnya ia dikenali sebagai Brunei Darussalam Rice 1, atau BDR1, namun ia kemudiannya digantikan dengan nama Beras Laila, selepas pertandingan penamaan peringkat kebangsaan diadakan. Perkataan ‘laila’ sangat bermakna kerana ia melambangkan kejujuran, kepuasan dan kedamaian. Pemenangnya, Mardiah Haji Ramli, menyatakan bahawa beliau pertama kali tertarik dengan istilah ‘laila’ setelah mendengar titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa pertabalan baginda pada 5 Oktober, 1967. Setelah melakukan beberapa kajian, beliau membuat keputusan menamakan beras hibrid tersebut Beras Laila. Beras Laila terbukti meningkat popular di kalangan penduduk tempatan kerana ia boleh digunakan untuk membuat pelbagai hidangan makanan dan pencuci mulut. Dibandingkan dengan jenis padi yang lain, Beras Laila mempunyai lebih nutrisi-mikro. Malah jika dibandingkan dengan beras tempatan yang lain, kandungan proteinnya juga lebih tinggi. Bagi membantu mempromosikan beras istimewa ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan baru-baru ini telah menerbitkan sebuah buku yang mengandungi 30 resipi yang berbeza menggunakan Beras Laila sebagai bahan utama, sekaligus mendorong penduduk tempatan mencuba untuk membiasakan diri dengan bijirin baru ini. MAY | JUNE 2011 45